PASUKAN YYPANG BERSEDIA UNTUK CABARAN SETERUSNYA

Pusingan kelapan Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix akan menuju ke Bandar Medini Iskandar, Iskandar Puteri buat pertama kali dalam 30 tahun. Pelumba-pelumba pasukan Jetron Yamaha YYPang Racing Team, Khairi Ashraf dan Shafiq Ezzariq akan beraksi dengan semangat untuk menguasai kategori CP125.

Kedua-dua pelumba yang kembali ke kategori CP125 musim ini bukan sahaja telah memberikan saingan yang hebat kepada pelumba-pelumba lain di kategori ini malah kini menduduki tempat pertama dan kedua secara keseluruhan dengan jumlah mata yang sama iaitu 109 mata. Sepanjang tujuh pusingan, Khairi telah menaiki podium sebanyak tiga kali dengan dua kemenangan manakala Shafiq telah menaiki podium sebanyak lima kali dengan satu kemenangan. Nampaknya, keputusan pasukan YYPang untuk menempatkan pelumba-pelumba mereka di kategori ini telah membuahkan hasil bagi musim ini.

Menurut Khairi, “Bagi musim ini, agak berlainan sebab saya tidak berlumba dalam kategori ini pada musim lepas. Maka cabaran saya adalah berlumba dengan pelumba-pelumba yang sudah lama dalam kategori CP125. Di litar Terengganu hari itu, saya bermula lambat sedikit dan di pintas oleh pelumba-pelumba lain. Pada masa itu, saya terpaksa memperlahankan jentera saya kerana ada pelumba yang terjatuh di hadapan saya. Oleh kerana itu, saya ketinggalan agak jauh berbanding dengan pelumba-pelumba yang lain.”

“Pencabar utama saya adalah rakan sepasukan saya sendiri dan buat masa kini, kami mempunyai mata keseluruhan yang sama. Bagi pusingan yang akan datang, saya sudahpun membuat persiapan yang secukupnya dari segi kecergasan fizikal dan latihan. Litar Medini adalah litar baharu, ada juga perasaan gementar tetapi saya akan cuba buat yang terbaik. Matlamat saya adalah untuk meningkatkan kemahiran saya dan menjuarai kategori CP125 bagi musim ini. Pasukan saya secara keseluruhan telah memberikan bantuan yang secukupnya dari segi kelajuan jentera dan juga latihan. Saya amat berterima kasih kepada mereka.”

Shafiq pula berkata, “Cabaran saya pada musim ini adalah dari segi jentera. Saya terpaksa biasakan diri dengan jentera CP125. Sebelum ini, saya bawa jentera Y15 dan sekarang saya kena beralih ke Lagenda 105FI. Tidak lupa juga pelumba-pelumba CP125 yang telah lama di kategori tersebut seperti Syafiq Rosli dan rakan sepasukan saya, Khairi yang juga memberikan saingan hebat. Khairi dan saya sudah pasti akan bersaing dengan lebih sengit lagi di pusingan-pusingan yang akan datang kerana kami masing-masing ingin menjuarai kategori ini. Dari aspek pengalaman pula, tidak banyak beza di antara CP150 dan CP125. Tahap agresif hampir sama dan tetap sukar untuk mengatasi cabaran tersebut. Di litar Terengganu hari itu, memang agak sukar untuk berada di hadapan berbanding dengan pusingan sebelum itu kerana pelumba-pelumba lain telah memberikan saingan yang sengit.”

“Pada pendapat saya, litar Medini lebih kurang sama dengan litar Temerloh, cumanya litar Medini hanya mempunyai satu selekoh kiri sahaja. Dari segi persediaan, saya banyak mempelajari perlumbaan-perlumbaan lepas, membaiki kesilapan dan kekurangan saya dan cuba untuk bersaing dengan lebih baik lagi. Matlamat saya untuk musim ini hanya satu iaitu untuk mendapat juara keseluruhan. Saya akan cuba yang terbaik untuk bersaing walaupun dengan rakan sepasukan saya sendiri. Saya banyak belajar dari “coach” saya, Shahrol Nizam. Beliau banyak memberikan kami tunjuk-ajar, apa yang perlu kita buat dan perbaiki untuk setiap sesi. Kami juga banyak mendapat sokongan dari sponsor dan pemilik pasukan serta krew. Oleh itu, saya akan buat yang terbaik untuk bukan sahaja untuk juara keseluruhan tetapi juga untuk juara bagi pasukan.”

Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com

Ikuti kami di Facebook