fbpx

ADIB MEMBURU TEMPAT KETIGA TERATAS


Pusingan kelapan Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix akan menuju ke Bandar Medini Iskandar, Iskandar Puteri buat pertama kali dalam 30 tahun. Adib Hareez dari pasukan Bad Lab Honda KC Racing akan menguatkan semangat untuk mara ke depan.

Dua kali di podium pada musim ini, Adib agak teruja untuk beraksi di litar baharu lebih-lebih dengan peningkatan prestasinya berbanding dengan musim lalu. Beliau yang menamatkan musim lepas di tangga kelapan dengan jumlah 51 mata kini menduduki tempat kelima secara keseluruhan dengan jumlah 90 mata. Dengan peningkatan yang agak ketara dan tiga pusingan lagi sebelum tamatnya musim ini, boleh dikatakan Adib berpotensi untuk menempatkan diri di tempat ketiga teratas secara keseluruhan.

Menurut Adib, “Kelebihan saya dalam kategori Wira adalah pengalaman saya selama tiga tahun dalam kategori ini. Pengalaman ini adalah sangat penting bagi mana-mana pelumba dan bagi saya, ia telah memberikan saya peluang untuk mempelajari selok-belok pengendalian jentera dan juga untuk memahami susun atur litar yang berlainan. Kategori Wira ini menggunakan “full injection” dan sistem “data logger” di mana ia membantu saya mempelajari dan mengetahui kesilapan saya dengan lebih pantas.”

Kata Adib lagi, “Saya agak terkilan semasa perlumbaan saya di Terengganu tempoh hari kerana saya agak gopoh. Itu menyebabkan saya terjatuh di lap kedua. Sebagai pelumba, kita harus pantas memikir tetapi juga perlu peka dengan keadaan sekeliling. Bagi pusingan yang akan datang, sudah pasti kami akan menghadapi cabaran kerana ia adalah litar yang baharu. Semua pelumba tidak pernah berlumba di situ. Saya tidak dapat mengulas lebih berkenaan litar itu walaupun Litar Medini dekat dengan rumah saya.”

Pelumba Johor ini berkata, “Saya telah bersedia untuk pusingan yang akan datang dan memandangkan pusingan tersebut adalah di kampung halaman saya, saya mengharapkan sokongan daripada rakan-rakan dan ahli keluarga saya. Saya berharap mereka akan datang untuk menyaksikan persembahan saya. Ini pasti akan meningkatkan lagi semangat saya. Matlamat saya pada musim ini adalah untuk berusaha bersungguh-sungguh agar saya ada peluang untuk menempatkan diri di tempat ketiga teratas secara keseluruhan.”

Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com

Ikuti kami di Facebook

, , ,