Musim 2020 boleh dikatakan musim paling cemerlang OnexoxTKKR Racing Team sejak menyertai Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS pada 2015. Setelah 5 tahun berdepan dengan pelbagai rintangan dan mereka dilihat gigih menjalankan kajian dan pembangunan untuk bersaing dengan nama-nama besar dalam Cub Prix.

Suka atau tidak kita perlu bersetuju mereka telah banyak melakukan perubahan dan penambahbaikan jika dibandingkan ketika mereka mula-mula terlibat 5 tahun dulu. 22 podium dari 8 pusingan sudah cukup memberi isyarat mereka kini mampu mencabar pasukan-pasukan lain yang jauh lebih lama dari mereka.

Walaupun tanpa sokongan pengeluar, ia tidak mematahkan semangat mereka untuk bersaing merebut kejuaraan. Peningkatan drastik musim ini dapat dilihat dalam kategori Wira KBS dan CP125 yang baru diperkenalkan. 8 podium termasuk 4 kemenangan dalam kategori Wira KBS membolehkan Md Aeiman Hafidz Shahril dinobatkan Naib Juara kategori tersebut diikuti Md Izzat Md Raduan ditempat ketiga keseluruhan.
Dalam kategori CP125 yang baru diperkenalkan, mereka sejak awal musim mendominasi saingan sekaligus menamatkan kemarau podium selama 3 musim sebelum ini. Peningkatan ketara 11 podium dengan 3 kemenangan melonjakkan mereka untuk melakar sejarah buat kali pertama menjadi Naib Juara keseluruhan berpasukan manakala Shafiq Rasol di tempat ketiga keseluruhan.
Kategori perdana CP150 walaupun tidak menunjukkan peningkatan bilangan podium secara keseluruhan namun persembahan konsisten Muzakkir Mohamed meletakkan beliau ketiga keseluruhan. Ia merupakan pencapaian terbaik yang pernah dilakukan pelumba mereka dalam kategori ini sejak 4 tahun lalu.
Momentum kecemerlangan ini pastinya memberikan semangat baru bagi mereka untuk musim 2021.