fbpx

NABIL: KEMENANGAN PUSINGAN 1 DI LUAR JANGKAAN

Pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha 31 Racing, Rahimi Nabil Razu, mula menarik perhatian peminat sukan permotoran negara susulan kemenangan sulungnya dalam kategori Wira KBS ketika aksi pembuka tirai Kejuaraan PETRONAS Cub Prix Malaysia di Litar Sepang tempoh hari.

 

Ketika ditemui pada sidang media sejurus selepas upacara podium, Nabil mendedahkan bahawa kemenangan tersebut diluar jangkaannya.

 

“Ini merupakan kali pertama saya beraksi dalam kategori Wira KBS. Berbanding dengan pelumba-pelumba lain, ternyata saya kurang pengalaman,” kata Nabil yang memulakan perlumbaan dari petak ke-13.

 

Bermula di pertengahan grid bukan merupakan masalah besar bagi pelumba berusia 15 tahun ini. Nabil pantas mengorak langkah menyertai kelompok hadapan yang menyaksikan persaingan antara Mohd Idlan Haqimi (Idemitsu Kozi DFZ Yam Racing), Mohd Farish Iqmal Khayrul Elyas (Elf Koyoko Honda KC Racing), Mohd Izzat Mohd Raduan serta Mohd Aeiman Hafidz Shahril (ONEXOX SAG Team), serta Mohd Harith Haziq Zamri (Castrol Power1 Racing Team).

 

Rentak perlumbaan bertambah rancak apabila Abdullah Qayyum Abd Razak dan Idlan Haqimi terjatuh di selekoh pertama pada lap ke-6. Insiden tersebut memisahkan kelompok hadapan dengan pelumba-pelumba yang lain.

 

Dengan hanya empat pelumba dalam kelompok pertama bersama Izzat Raduan, Hadith Haziq dan Aeiman Hafidz Shahril, Nabil mula dilihat bijak mengatur strategi. Nabil terus mengorak langkah dan terus menyambar peluang mendahului kelompok pendahulu. Meskipun menerima tentangan hebat daripada Mohd Izzat Raduan and Harith Haziq Zamri, pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha 31 Racing itu berjaya mempertahankan kedudukan di tempat pertama sehingga melepasi garisan penamat di depan Izzat dengan jarak 0.001s.

 

Kemenangan di Sepang tersebut merupakan kemenangan pertama bagi Nabil di kancah Cub Prix. Pelumba kelahiran Terengganu itu beraksi dalam kategori Yamaha PETRONAS Super Series tahun lalu, dan menamatkan musim 2019 di tangga ke-4 keseluruhan.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *