Berlumba dengan menyelinap di kawasan taman perumahan suatu ketika dahulu, kini berlumba di litar sebenar dengan gelaran juara bertahan bagi musim 2022.
Namanya, Azroy Hakeem Anuar, merupakan anak didikan bekas jaguh motosikal negara Shahrol Yuzy. Azroy mewakili pasukan milik gurunya, Honda Yuzy Idemitsu sejak mula menjinak dalam sukan permotoran berprestij negara, PETRONAS Malaysian Cub Prix pada tahun 2014.
Ketika berusia 14 tahun, minatnya terhadap kelajuan dan jentera dua roda mula menjelma dalam dirinya selepas menunggang motosikal bapa tanpa kebenaran di sekitar kawasan taman perumahan tempat beliau tinggal. Selepas empat kali berbuat demikian perbuatan Azroy dihidu bapanya selepas dia terbabit dalam kemalangan.
Anak kelahiran Selangor itu boleh dikatakan bertuah apabila adanya seorang bapa yang memahami minat anaknya dan terus memberi sokongan moral untuk bergerak secara professional dalam dunia permotoran dengan mecabarnya untuk menyertai perlumbaan CubPrix jika benar-benar serius minat berlumba.
Di sebalik cabaran tersebut adanya keinginan seorang bapa yang tidak mahu melihat anaknya terpengaruh dengan kegiatan negatif seperti lumba haram di jalanan yang membahayakan nyawa diri sendiri dan orang lain. Usaha bapanya tetap memberi impak yang positif apabila Azroy kini berjaya digelar pelumba disegani ramai.
Beliau mengakui pada peringkat permulaan dia mengalami kesukaran kerana tiada pengalaman berlumba CubPrix mahu pun menunggang ‘poket bike’ seperti pelumba lain. Namun dengan tunjuk ajar secara terus daripada gurunya yang juga legenda yang mempunyai sejarah tersendiri dalam sukan permotoran, Yuzy.
Azroy bukan sahaja melakar nama di peringkat kebangsaan malah juga berkelana di peringkat antarabangsa apabila menyertai Asia Talent Cup pada tahun 2015 dan juga FIM Asia Road Racing Championship pada tahun 2016 sehingga kini.
Turun selaku Juara Bertahan bagi saingan musim ini, Azroy kelihatan agak bergelut mencari rentak kemenangan sepanjang 4 pusingan dan berjaya menaiki podium pada pusingan ke-5 di Dataran Sri Jempol, Negeri Sembilan. Namun ia tidak memberi kepuasan sepenuhnya kepada Azroy yang mempunyai misi meraih podium di tangga pertama pada Cub Prix musim 2022.
“ Bagi saya, prestasi tahun ini agak kurang memuaskan dan kini menghuni tangga ke-4 secara keseluruhan. Nak kekal konsisten itu agak sukar dalam musim ini sebab trek-trek kecil kembali memenuhi kalendar saingan kali ini. Kalau berbandingkan dengan perlumbaan tahun lepas, kebanyakannya berlangsung di Litar Sepang dan Terengganu.
“Litar-litar tersebut adalah lubuk mencari mata semaksimum bagi saya. Bukan itu sahaja, jentera Honda juga memiliki kelebihan di trek yang panjang dan teknikal. Jadi saya akan cuba yang terbaik di pusingan seterusnya untuk mencari mata berharga sebanyak mungkin untuk mengukuhkan lagi kedudukan saya.
“Jika mahu mengejar kejuaraan itu agak sukar sebab jurang mata dengan pendahulu perlumbaan adalah 30 mata. Ia agak banyak untuk dikejar tetapi tidak mustahil. Saya tidak mahu memberi tekanan kepada diri saya. Jadi saya akan cuba yang terbaik pada setiap pusingan akan datang,” jelas Azroy.
Walaupun gagal memungut sebarang mata dalam pusingan pertama musim ini apabila tidak dapat mengakhiri saingan (DNF) akibat masalah teknikal, Azroy masih berjaya berada di kelompok lima teratas dalam kategori CP150 menerusi pusingan-pusingan seterusnya.
Tahun ini juga menyaksikan Azroy ditemankan oleh jentera baharu sejak awal musim, Honda RSX 2021 yang dilancarkan hujung tahun lalu. Beliau juga merupakan pelumba pertama yang telah menguji keistimewaan model terbaru dari Honda itu atas litar.
Pada masa sama, Azroy juga menggunakan nombor #1 pada musim kali ini yang sememangnya angka khas untuk juara bertahan. Kali terakhir nombor ini diperlagakan di atas litar perlumbaan adalah dalam musim 2014 apabila ianya digunakan oleh Zaqhwan Zaidi.
Berbaki lagi lima pusingan sebelum musim ini menutup tirai, pelumba berusia 23 itu tekad mencatat kemenangan di tempat pertama.
“Saya mendahagakan kemenangan podium di tempat pertama. Selepas menjuarai kategori CP150 tahun lepas dengan rekod yang cukup baik pada setiap pusingan, saya belum lagi menjejak tangga pertama di podium.
“Saya akan menggunakan dengan baik kelebihan jentera saya di Litar Sepang untuk mencapai misi tersebut. Saya akan cuba yang terbaik untuk mendapatkan keputusan lebih positif kepada pasukan dan diri saya sendiri,”
Pusingan ke-enam Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub prix 2022 dijadualkan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang Selatan pada 6 dan 7 Ogos ini.
Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com
Ikuti kami di Facebook