MALEK PIMPIN PESTA KEM 31 RACING

Saingan Pusingan 7 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2026 di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang (Selatan) pada hari ini menyajikan epik perlumbaan kategori WIRA apabila Ahmad Malek Ridha dari pasukan PETRONAS SPRINTA YAMAHA 31 RACING merampas kemenangan di garisan penamat. Kejayaan gemilang itu turut diserikan dengan penamat rakan sepasukannya, Nuzzul Ady Muhammad Sudin di tempat kedua, mengesahkan penguasaan 1-2 buat kem mereka.

Namun, perlumbaan bermula dengan detik tragis buat pemegang petak utama dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA 31 RACING, Raja Abdurraqib Raja Norfatihah. Selepas cemerlang mencatat masa terpantas 1’30.291s pada sesi Kelayakan semalam, jentera Abdurraqib berdepan masalah teknikal sebaik sahaja pusingan pemanas badan tamat, memaksa beliau menelan kekecewaan tidak dapat memulakan saingan. Ketiadaan Abdurraqib bagaimanapun pantas digalas oleh rakan sepasukannya, Ady, selaku Juara Keseluruhan WIRA musim 2026. Bermula di petak kedua, Ady cemerlang meneruskan cabaran pasukan dengan merampas kedudukan pendahulu sebaik sahaja perlumbaan dilepaskan, diekori rapat oleh Malek.

Perlumbaan siang yang panas itu berlangsung dengan intensiti tinggi tatkala kedudukan di kelompok hadapan kerap bertukar tangan. Menjelang pusingan keempat, pelumba IGOL BROTHERS 7 TECH RACING, Md Al-Syafiq M Al Amirul Zaki, mula mencetuskan ancaman serius dengan memintas Ady, namun Ady bertindak tangkas merampas kembali kedudukan tersebut. Memasuki pusingan kelima, trio Ady, Malek, dan Al-Syafiq mempamerkan persaingan cukup sengit untuk melebarkan jurang, meninggalkan kelompok pengejar sejauh 1.541s di belakang.

Pada pusingan ketujuh, juga pusingan terakhir, Al-Syafiq melancarkan serangan bertali arus dengan memintas Malek, namun di laluan lurus terakhir menuju ke garisan penamat, Ady dan Malek mempamerkan kerjasama berpasukan yang luar biasa. Mereka berlumba bersebelahan secara strategik, bertindak bijak menutup terus ruang percubaan Al-Syafiq untuk melakukan pintasan akhir.

Taktikal tersebut membuahkan hasil lumayan apabila Malek berjaya melepasi garisan penamat selaku juara dengan catatan masa 9’49.879s, hanya dibezakan 0.002 saat di hadapan Ady yang mencatat 9’49.881s. Al-Syafiq terpaksa akur melengkapkan podium di tempat ketiga menerusi masa 9’49.899s. Tempat keempat disambar rakan sepasukannya, Md Fairil Hazmi Farid Sezli pada 9’53.472s, diikuti Shazrel Aqief Hakimy Sazali dari AHM IPONE RACING TEAM di tempat kelima pada 9’55.293s.

Malek berkata, “Syukur Alhamdulillah atas kemenangan ini! Saya nak ucapkan jutaan terima kasih kepada pasukan yang bertungkus-lumus menyiapkan jentera terbaik untuk saya, keluarga yang sentiasa menyokong, dan pastinya kepada semua penyokong di luar sana.”

“Aksi perlumbaan tadi memang sangat mencabar dan mendebarkan. Saingan daripada pelumba-pelumba lain cukup hebat dari awal perlumbaan hingga ke garisan penamat. Tetapi dari awal lagi, sebelum perlumbaan bermula, saya sudah tetapkan fokus dan susun strategi yang spesifik untuk mengejar kedudukan pertama. Saya tahu apa yang saya perlu buat, di mana saya perlu menyerang dan bila saya perlu bertahan.”

“Alhamdulillah, semuanya mengikut perancangan dan saya berjaya membuktikan kemampuan sebenar saya hari ini.”

TOP 5 FASTEST – RACE
1. AHMAD MALEK RIDHA – PETRONAS SPRINTA YAMAHA 31 RACING (9’49.879s)
2. NUZZUL ADY MUHAMMAD SUDIN – PETRONAS SPRINTA YAMAHA 31 RACING (9’49.881s)
3. MD AL-SYAFIQ M AL AMIRUL ZAKI – IGOL BROTHERS 7 TECH RACING (9’49.899s)
4. MD FAIRIL HAZMI FARID SEZLI – IGOL BROTHERS 7 TECH RACING (9’53.472s)
5. SHAZREL AQIEF HAKIMY SAZALI – AHM IPONE RACING TEAM (9’55.293s)