GANDINGAN KHAIRI-RAIYAN JULANG YY PANG

Saingan Pusingan 7 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2026 di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang (Selatan) menyajikan aksi CP125 yang mendebarkan apabila Md Khairi Asyraf Mahmood mempamerkan kebangkitan luar biasa untuk merangkul juara, sekali gus mengesahkan kemenangan dominan 1-2 buat kem IPONE YAMAHA YY PANG RACING TEAM menerusi rakan sepasukannya, Raiyan Khardanee M Sanusi.

Terdahulu, Raiyan bermula cemerlang di petak utama hasil catatan terpantas 1’20.666s pada sesi Shoot Out. Namun, sebaik perlumbaan bermula, dua pelumba ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM, Md Idlan Haqimi Raduan dan Md Akif Abdullah bertindak agresif meluru ke hadapan untuk memimpin saingan awal.

Persaingan merebut takhta pendahulu bertukar tangan secara drastik hampir di setiap pusingan. Pertarungan bertambah tegang dengan asakan hebat di kelompok hadapan, termasuk kejayaan Md Adie Putra Sukarno dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR mencetak masa terpantas 1’21.997s pada pusingan keempat. Biarpun Raiyan sempat tercicir ke kedudukan kelima, kelincahannya membolehkan dia merampas semula tampuk pimpinan pada pusingan keenam.

Kemuncak debaran meletus pada dua pusingan terakhir apabila Khairi yang bermula di kelompok belakang cemerlang menyusun strategi, pantas memanjat kedudukan untuk berada di tempat kedua di sisi Raiyan. Memasuki pusingan penentuan, gandingan IPONE YAMAHA YY PANG RACING TEAM ini berjaya membuka jurang 0.354s daripada kelompok mengejar. Di selekoh terakhir yang cukup kritikal, Khairi bijak menghidu kesilapan Raiyan lalu memintas pantas menuju ke garisan penamat dengan catatan masa 11’07.559s, menewaskan Raiyan yang akur di tempat kedua dengan perbezaan tipis menerusi masa 11’07.614s.

Dalam pada itu, Adib Hareez Hazwat dari TAB SPORTS SCK HONDA RACING turut melakar memori indah apabila meraikan kedudukan podium pertamanya di tempat ketiga dengan masa 11’08.125s. Tempat keempat diisi Md Adib Arsyad Mohd Hisam dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR pada 11’08.127s, diekori Idlan di kedudukan kelima dengan catatan masa 11’08.151s.

Khairi berkongsi, “Syukur Alhamdulillah, satu kemenangan yang cukup bermakna. Kejayaan ini saya dedikasikan sepenuhnya kepada pasukan, terutamanya barisan mekanik yang bekerja keras demi memastikan jentera berprestasi optimum. Terima kasih juga atas sokongan padu keluarga, rakan-rakan, serta semua penyokong setia saya.”

“Perlumbaan tadi menuntut ketahanan mental yang tinggi. Bermula dari petak belakang grid bukanlah satu kelebihan, tetapi saya kekal fokus untuk memburu kelompok pendahulu. Saya mengambil pendekatan langkah demi langkah, cuba membaca rentak pesaing di hadapan, dan apabila ada ruang, saya memacu jentera ke tahap maksimum untuk merapatkan jurang.”

“Pusingan terakhir adalah penentuan yang paling mendebarkan. Sejujurnya, ada ketika saya terfikir peluang untuk bergelar juara mungkin sudah tertutup rapat. Tetapi dalam sukan permotoran, selagi bendera penamat belum dikibarkan, apa sahaja boleh berlaku. Apabila saya menyedari Raiyan tersilap langkah dan membuka sedikit ruang, saya tidak berfikir panjang dan terus meluru masuk memintas kedudukannya, dan Alhamdulillah, rezeki kemenangan berpihak kepada saya hari ini!”

TOP 5 FASTEST – RACE
1. MD KHAIRI ASYRAF MAHMOOD – IPONE YAMAHA YY PANG RACING TEAM (11’07.559s)
2. RAIYAN KHARDANEE M SANUSI – IPONE YAMAHA YY PANG RACING TEAM (11’07.614s)
3. ADIB HAREEZ HAZWAT – TAB SPORTS SCK HONDA RACING (11’08.125s)
4. MD ADIB ARSYAD MOHD HISAM – PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR (11’08.127s)
5. MD IDLAN HAQIMI RADUAN – ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM (11’08.151s)