Pertarungan sengit yang disusuli dengan insiden kemalangan dramatik pada pusingan terakhir telah menobatkan Nuzzul Ady Muhammad Sudin dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA 31 RACING sebagai juara kategori WIRA sempena Pusingan 4 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2026 di Stadium Negeri Pulau Pinang, hari ini. Kemenangan sulung yang penuh bergaya itu bertambah manis apabila rakan sepasukannya, Raja Abdurraqib Raja Norfatihah turut mengesahkan penguasaan 1-2 buat kem mereka di litar teknikal ini.
Permulaan perlumbaan menyaksikan pemegang petak utama, Abdurraqib gagal membuat permulaan yang baik. Kesilapan itu membenarkan Ady yang bermula dari petak ketiga terus memecut untuk mengambil alih kedudukan hadapan. Md Fairil Hazmi Farid Sezli dari IGOL BROTHERS 7 TECH RACING turut cemerlang memintas untuk berada di kedudukan kedua, memaksa Abdurraqib turun ke kedudukan ketiga, sementara Ahmad Malek Ridha dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA 31 RACING mengekori di tempat keempat. Namun, nasib tidak menyebelahi Adi Putra Anahar dari ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM yang terpaksa menamatkan saingan lebih awal akibat masalah teknikal jentera.
Kepantasan jentera kelompok hadapan saling diuji apabila mereka bertukar-tukar rekod masa terpantas. Selepas Fairil mencatat masa 54.990s pada pusingan ketiga, Abdurraqib bertindak balas pantas dengan catatan 54.833s pada pusingan keempat untuk mengejar dua pendahulu di hadapannya. Saingan bertambah tegang pada pusingan keenam apabila Malek turut melakar masa terpantas 54.809s. Strategi tekanan Abdurraqib membuahkan hasil apabila dia berjaya memintas Fairil di selekoh kelima pada pusingan ketujuh, sebelum Fairil kembali merampas kedudukan kedua pada pusingan ke-10.
Kemuncak perlumbaan meletus pada pusingan terakhir apabila Fairil melancarkan serangan berani dengan memintas Ady untuk mengetuai perlumbaan, namun Ady pantas merampasnya kembali. Perselisihan tayar yang berlaku mengakibatkan jentera Fairil sedikit tidak stabil, sekaligus membuka ruang keemasan buat Abdurraqib memintasnya dari kedudukan ketiga.
Malang berganda menimpa apabila Fairil, yang cuba menyelamatkan sisa kedudukan podium, terus diasak hebat oleh Malek yang mengintai peluang dari tempat keempat. Persaingan sengit itu berakhir dengan tragedi apabila kedua-duanya terjatuh sekali gus meleburkan sama sekali harapan untuk menaiki podium serta mengutip sekurang-kurangnya 13 mata berharga. Insiden tersebut terus memberi durian runtuh buat Md Al-Syafiq M Al Amirul Zaki dari IGOL BROTHERS 7 TECH RACING yang melintasi garisan untuk menamatkan perlumbaan di tempat ketiga.
Ady mengesahkan kemenangan menerusi catatan 11’12.381s, diekori rapat oleh Abdurraqib di tempat kedua dengan 11’13.091s, manakala Al-Syafiq melengkapkan podium dengan masa 11’18.485s.
Ady berkata, “Syukur Alhamdulillah, perasaan saya sukar digambarkan dengan kata-kata apabila berjaya meraih kemenangan sulung di pusingan ini. Kejayaan ini sudah pasti tidak akan bermakna tanpa kerja keras seluruh pasukan. Saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada kru mekanik yang telah bertungkus-lumus mencari pelarasan jentera terbaik buat saya sejak dari awal sesi Latihan Bebas hinggalah ke saat perlumbaan bermula.”
“Mengenai aksi di litar tadi, cabarannya amat sengit. Fokus utama saya adalah untuk mengekalkan momentum yang konsisten di kelompok hadapan dan mengelakkan sebarang kesilapan. Saya dapat merasakan Fairil semakin merapatkan jurang, terutamanya apabila perlumbaan hanya berbaki dua pusingan terakhir. Tekanan sememangnya sangat tinggi, tetapi saya mengingatkan diri sendiri untuk terus kekal tenang, tingkatkan tumpuan, dan bertahan dengan lebih kuat. Alhamdulillah, strategi itu berhasil dan saya amat berbangga dapat menamatkan perlumbaan ini sebagai juara.”
TOP 5 FASTEST – RACE
1. NUZZUL ADY MUHAMMAD SUDIN – PETRONAS SPRINTA YAMAHA 31 RACING (11’12.381s)
2. RAJA ABDUQRRAQIB RAJA NORFATIHAH – PETRONAS SPRINTA YAMAHA 31 RACING (11’13.091s)
3. MD AL-SYAFIQ M AL AMIRUL ZAKI – IGOL BROTHERS 7 TECH RACING (11’18.485s)
4. MD DARWISH AMSYAR M RIDZWAN – ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM (11’22.732s)
5. MD AQIL RMADHAN IDRIS – HONDA RS MEGATECH RACING TEAM (11’22.773s)

