Aksi mendebarkan sehingga ke selekoh terakhir menobatkan Md Farid Hakimi Farid Sezli dari pasukan PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING sebagai juara perlumbaan akhir kategori CP125 sempena Pusingan 4 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2026 di litar Stadium Negeri Pulau Pinang. Farid bukan sahaja mengatasi cabaran sengit, tetapi turut memastikan kejayaan berganda buat kem PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING apabila rakan sepasukannya, Md Syamil Amsyar M Iffende menduduki tempat kedua.
Perlumbaan bermula dengan Farid membuat permulaan cemerlang, namun pantas dipintas oleh pemegang petak pertama, Syamil. Md Idlan Haqimi Raduan dari ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM selesa di tempat ketiga, mengekori rapat Syamil. Sementara itu, tumpuan turut terarah kepada rakan sepasukan Idlan, Md Akif Abdullah yang mempamerkan aksi kebangkitan luar biasa dari petak ke-10 untuk menempatkan dirinya di kelompok lima terbaik seawal pusingan pertama.
Persaingan tertumpu kepada pertarungan tiga penjuru antara Syamil, Idlan, dan Farid. Menjelang pusingan keempat, Syamil merakam masa terpantas 54.454s untuk terus mengekalkan dominasi. Namun, Idlan enggan mengalah. Beliau secara perlahan-lahan merapatkan jurang masa kepada hanya 0.135s pada pusingan kelapan sebelum bertindak memintas Syamil di sebuah selekoh strategik.
Namun, pada pusingan ke-10, jentera Idlan yang sedang selesa memimpin perlumbaan tiba-tiba mengalami masalah teknikal dan mula perlahan, sekali gus meleburkan harapannya untuk bergelar juara. Situasi ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh Farid pada pusingan seterusnya untuk memintas dan mengawal tampuk pimpinan, diikuti Syamil di tempat kedua.
Menjelang pusingan terakhir, pertempuran menjadi sangat tegang. Syamil yang hanya ketinggalan 0.144s di belakang Farid melancarkan asakan bertali arus. Di selekoh terakhir, kedua-dua pelumba bersaing secara bersebelahan dan memecut kencang ke arah garisan penamat. Akhirnya, Farid membuktikan kehebatannya dengan melintasi garisan terlebih dahulu menerusi masa 13’46.500s. Syamil akur di tempat kedua dengan catatan 13’46.610s, dipisahkan hanya dengan margin 0.110s. Md Khairi Asyraf Mahmood dari IPONE YAMAHA YY PANG RACING TEAM melengkapkan kedudukan podium di tempat ketiga pada masa 13’48.927s.
Farid berkata, “Syukur atas kemenangan ini. Sejujurnya, ini merupakan satu minggu yang sangat mencabar dan menguji ketahanan mental pasukan kami. Sepanjang hari semalam, kami bergelut untuk mencari formula pelarasan jentera yang sesuai. Berkat sikap tidak berputus asa, kami akhirnya menemui pelarasan yang tepat pada sesi pemanasan pagi tadi, yang membolehkan kami tampil lebih meyakinkan di sesi Shoot Out dan perlumbaan akhir.”
“Kami sedar saingan amat sengit kerana kelajuan pesaing lain tidak boleh dipandang mudah. Strategi utama kami adalah mendominasi petak hadapan sejak awal untuk mengawal perlumbaan, dan ia berjaya dilaksanakan. Walau bagaimanapun, keadaan menjadi agak tegang apabila Idlan merampas kedudukan saya. Saya akui tumpuan saya sedikit tergugat ketika itu, namun saya pujuk diri untuk kekal bertenang dan membaca rentaknya dari belakang.”
“Tuah menyebelahi kami apabila jentera Idlan tiba-tiba mengalami masalah teknikal. Di saat yang sama, kesilapan kecil Syamil yang sedikit melebar membuka ruang yang cukup luas untuk saya. Tanpa berfikir panjang, saya terus memintas untuk mengambil alih tampuk pimpinan. Bermula dari detik itu, saya hanya fokus mengekalkan rentak hingga ke akhir perlumbaban. Walaupun wujud debaran apabila saya hampir tersilap langkah di selekoh bulatan sebelum garisan penamat, Alhamdulillah kemenangan masih rezeki saya untuk pusingan ini.”
TOP 5 FASTEST – RACE
1. MD FARID HAKIMI FARID SEZLI – PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING (13’46.500s)
2. MD SYAMIL AMSYAR M IFFENDE – PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING (13’46.610s)
3. MD KHAIRI ASYRAF MAHMOOD – IPONE YAMAHA YY PANG RACING TEAM (13’48.927s)
4. MD AKIF ABDULLAH – ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM (13’56.080s)
5. EMIL IDZHAR EZUAN – PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING (13’56.345s)

