fbpx

KEJUARAAN PETRONAS MALAYSIAN CUB PRIX MENYAMBUT TAHUN KE-30


Kuala Lumpur, 17 Februari 2023 – Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix menyambut tahun ke- 30 sejak penubuhan dan sambutan ini dimeriahkan lagi dengan upacara rasmi, “Sambutan Tahun Ke- 30” yang berlangsung di M Resort and Hotel, Kuala Lumpur.

Majlis sambutan berkenaan turut diserikan dengan kehadiran YB Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, seterusnya menyempurnakan perasmian musim ke-30 bagi sukan permotoran nasional tersebut. Turut hadir bersama beliau adalah Pengurus Besar Kanan, Komunikasi Strategik Kumpulan PETRONAS, Datin Anita Azrina Abdul Aziz dan Pengarah Promosi Safe Aim Mutual Sdn. Bhd. (SAM), Ron Hogg.

Menurut Datin Anita Azrina, “Dalam tempoh 30 tahun ini, kejuaraan ini telah menyatukan rakyat Malaysia yang berkongsi minat yang sama untuk kepantasan, adrenalina, dan keseronokan perlumbaan. Adalah adil untuk kami mengatakan bahawa PETRONAS Cub Prix adalah nadi sukan permotoran dua roda Malaysia dan PETRONAS dengan bangga menyokongnya.”

Menurut Ron Hogg, “Cub Prix bermula dengan aspirasi untuk memberikan peluang kepada bakat-bakat tempatan agar mereka dapat melebarkan sayap di arena sukan permotoran nasional. Kini, kami amat berbangga dengan pencapaian Cub Prix yang berjaya membuka laluan kepada para pelumba mahupun pasukan untuk mengorak langkah ke tahap seterusnya di arena sukan permotoran Asia dan antarabangsa. Kejayaan dan pencapaian Cub Prix tidak mungkin berkesampaian tanpa kerjasama dan sokongan daripada keluarga Cub Prix. Terima kasih!”

“Misi kami adalah untuk terus meneroka dan mengatasi batasan di arena sukan permotoran agar pelumba-pelumba kita yang berkaliber mendapat pendedahan dan peluang yang sewajarnya untuk terus maju ke peringkat tertinggi. Dengan sokongan dan dorongan berterusan yang diberikan oleh semua pihak, kami pasti dapat merealisasikan misi tersebut,” tambah beliau.

Sambutan tersebut telah menyaksikan kehadiran seramai 500 orang yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam kejayaan kejuaraan Cub Prix selama tiga dekad. Cub Prix lahir dengan visi untuk memupuk minat dan mengembang bakat-bakat tempatan yang mampu bersaing di sukan pemotoran bukan sekadar di peringkat nasional tetapi juga di persada antarabangsa. Keunikkan Cub Prix terukir daripada aksi yang berlangsung di litar sementara yang mudah dipinda dari jalan-jalan biasa dengan menggunakan motosikal jenis “underbone”.

Kejuaraan Cub Prix bermula pada tahun 1994 dengan lima pusingan yang telah berlangsung di daerah- daerah berlainan sekitar Semenanjung Malaysia. Perlumbaan 10-pusingan bermula pada tahun 2006 dan sehingga kini, Cub Prix berjaya melengkapkan 240 pusingan secara keseluruhan. Sambutan yang mengalakkan daripada orang ramai juga memberikan peluang kepada Cub Prix untuk menjelajah ke seluruh negara termasuklah Sabah dan Sarawak.

Musim ke-30 akan kembali dengan aksi yang lebih hebat pada 25 Februari 2023.

Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com

Ikuti kami di Facebook

,