fbpx

KEHILANGAN SAHABAT DI ATAS JALAN RAYA, MENDORONG MENIMBA ILMU SUKAN PERMOTORAN SECARA PROFESIONAL

“Tahun 2021, tahun yang saya memang tidak dapat dilupakan apabila kehilangan seorang kawan baik saya dan puncanya kecuaian kami iaitu berlumba di atas jalanraya tanpa sebarang input keselamatan. Saya kehilangan dia disebabkan kemalangan jalan raya dan ketika itu saya membuat keputusan tidak mengulangi aktiviti melulu itu dan mahu mengejar minat saya dengan cara yang betul,” luahan pelumba AEON Credit Service Yamaha NVX Challenge, Tan Jing Hao.

Pelumba berusia 16 itu boleh disifatkan sebagai satu-satunya pelumba berbangsa Cina yang kini beraksi dalam arena Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix. Setelah sekian lama penyertaan Jing Hao dalam sukan berprestij negara itu boleh dikatakan akan menjadi pendorong kepada anak muda berbangsa Cina di luar sana untuk menceburi sukan ini.

Walaupun Jing Hao memulakan musim ini hanya pada pusingan ke-7, keinginan untuk menimba ilmu dan daya saing yang tinggi anak muda itu cukup menakjubkan.

“Saya mula berminat terhadap kelajuan dan motorsikal ketika saya berusia 14 tahun. Ketika itu saya bawa motosikal di sekeliling taman dan pernah berlumba beberapa kali di atas jalanraya bersama kawan saya. Pada waktu itu berlakunya insiden ngeri tersebut, lalu saya membuat keputusan untuk tidak mengulangi perkara tersebut.

“Bagaimanapun saya tetap ada keinginan untuk membawa motorsikal tetapi dengan lebih profesional. Jadi, saya pun maklum kepada kedua ibu bapa saya dan mujurlah mereka setuju untuk sokong minat saya.

“Pada awalnya saya ikut ayah saya pergi ‘Track Day’ di Sepang. Selepas berlatih beberapa bulan, saya lebih yakin untuk berlumba di Cub Prix. Sebelum menyertai Cub Prix saya tengok kesemua video-video yang berkaitan dengan perlumbaan. Dengan sokongan ibu-bapa dan kawan-kawan Ogos lepas saya melakukan debut dalam Yamaha NVX Challenge.

Meskipun tiada pengalaman, minat yang mendalam terhadap sukan permotoran, pelumba kelahiran Negeri Sembilan itu tidak gentar untuk memberi saingan kepada pelumba-pelumba yang lebih berpengalaman.

“Dua perlumbaan yang lalu, saya memang tidak berjaya mengumpul sebarang mata sebab saya masih lagi belajar menyesuaikan diri untuk mengendalikan jentera di atas trek. Memang sangat berbeza apabila dibandingkan dengan membawa motor di jalanraya biasa. Apatah lagi berlumba dengan pelumba-pelumba yang sudahpun mengenali selok-belok setiap litar di seluruh negara.

“Paling penting buat masa ini, saya nak belajar bagaimana nak kendali jentera dengan selamat dan mengatur strategi yang sewajar untuk setiap litar. Musim ini sudah pastinya lebih kepada pembelajaran. Saya selalu bersembang dengan senior-senior dalam kategori saya untuk mengembangkan lagi pengetahuan saya.

“Jadi, bagi musim saya tidak letak sebarang sasaran tetapi jika saya dapat menjejaki podium dalam salah satu perlumbaan daripada baki dua perlumbaan, sememangnya ia satu pencapaian yang sangat bermakna bagi saya.

“Apapun buat masa ini pengalaman dan cara pengendalian jentera adalah penting bagi saya. Selain itu, dari segi perbelanjaan bagi sukan ini, ibu bapa saya yang menampung segala kos dari penginapan sehingga pengendalian enjin. Saya harap dalam masa setahun dua ini saya dapat membuktikan sesuatu dan dapat diserap oleh pasukan industri.”katanya.

Jing Hao akan berlumba pada saingan seterusnya yang dijadualkan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang, minggu ini. Selamat Maju Jaya diucapkan!