fbpx

V-FIERTECH WIRAMUDA RACING GILAP BAKAT MUDA SUKAN PERMOTORAN

Kenyataan bahawa anak-anak muda berlumba haram disebabkan tiada tempat untuk mereka mendekati minat sudah terlalu lama berkumandang di pelbagai platform. Namun pandangan tersebut boleh disifatkan sudah basi dan lapuk apabila wujudnya pasukan seperti V-FIERTECH WiraMuda Racing yang hanya mefokuskan kebangkitan bakat muda dalam arena sukan permotoran dua roda.

Menubuh dan mengurus sebuah pasukan lumba untuk bersaing di pentas Cub Prix bukanlah suatu tugas yang mudah dan boleh dilaksanakan oleh sesiapa sahaja. Namun dengan kurang pengalaman pada ketika itu, tidak menjadi penghalang bagi pasangan suami isteri Mohd Jemat Baharim dan Noor Sahila Mohd Noor.

Lebih 15 tahun berada dalam industri Automotif dengan memiliki 2 syarikat pengeluaran produk automotif dan pemborong bahan kimia, pasangan tersebut memilih Cub Prix sebagai medan mereka memasarkan produk mereka di samping membuka ruang kepada bakat muda untuk menguji kemampuan berlumba.

Menurut pemiliknya, Jemat Baharim, pasukan yang diasaskan itu khususnya untuk mencungkil dan menggilap bakat-bakat muda.

“Apabila adanya pelumba-pelumba dari One-make Yamaha atau One-make Honda yang tidak berkesempatan untuk diserap ke dalam pasukan industri atau ke kategori lain, kami akan serap masuk ke pasukan V-fiertech. Kami akan terus melatih mereka dengan memberi pendedahan yang secukupnya dari segi disiplin dan kecergasan diri selain strategi supaya mereka boleh diserapakan ke pasukan besar.

“Misi utama kita adalah menyediakan platform bagi pelumba-pelumba muda untuk terus berjuang tanpa berputus asa sehingga mereka dapat melebarkan sayap ke tahap yang lebih tinggi mahupun di peringkat antarabangsa.” katanya.

Pasukan yang diasaskan pada tahun 2015 itu, lebih menumpukan kepada kebajikan dan disiplin pelumba dalam membantu mereka untuk bangkit dan naik ke peringkat yang lebih baik.

Pada awalnya mereka menubuhkan pasukan dengan nama V-Fier Oil Legacy Motorsports Racing dan mempertaruhkan 3 jentera dalam kategori CP115 dan Wira serta menyokong pelumba persendirian untuk berlumba dalam kelas PETRONAS Sprinta Pro-Am Cup.

Pada tahun 2019, mereka telah mengalih arah dengan hanya menumpukan perhatian kepada pelumba-pelumba muda dalam saingan kelas Wira KBS dengan menjenamakan pasukan sebagai Wiramuda V-Fiertech Academy Racing.

Sepanjang perjalanan selama 7 tahun, beberapa peelumba telah bejaya diserapkan ke pasukan besar. Antaranya pasangan adik beradik Firdaus dan Haziq Hamdan yang diberi sokongan ketika mereka berada dalam kelas PETRONAS Sprinta Pro-Am Cup dan kini mereka bersama Honda KC Racing. Selain itu, Md Shahzul Naim Razali dan Md Khairi Asyraf Mahmood juga pernah bersama mereka.

Ini adalah antara pencapaian dan mereka terus gigih berusaha demi misi pasukan untuk menggilap bakat muda. Usaha mereka untuk membangkitkan anak-anak muda yang berminat terhadap sukan jentera dua roda ini harus dihargai apabila segala kos perlumbaan termasuk gaji pelumba, mekanik dan sebagainya ditampung sendiri tanpa penglibatan penaja besar. Sedikit sebanyak usaha mereka ini juga membantu anak muda menghindari dari terlibat dalam kegiatan negatif demi minat.

“Setakat ini kami tidak menerima penajaan besar dari mana-mana pihak. Kesemuanya daripada syarikat kami sendiri termasuk gaji pelumba dan crew. Kami dapat juga sedikit tajaan dari segi barang-barang pengendalian jentera dan tayar daripada syarikat tertentu. Dari segi kewangan memang tiada bantuan dana.

“Bagaimanapun kami tetap berada dalam sukan permotoran ini tanpa menghirau kos disebabkan minat yang mendalam. Kami akan teruskan usaha kami sehingga kami mampu.”katanya.

Berbaki lagi 2 pusingan Kejuaraan Malaysian Cub Prix, dua dari empat pelumba berada di tangga 20 teratas. Pasukan yang sentiasa mensasarkan kedudukan lima teratas, pretasinya sedikit terjejas apabila berlakunya perubahan pelumba susulan beberapan sebab yang tidak dapat dielakkan. Pasukan V-FIERTECH WIRAMUDA Racing mengharap musim yang lebih baik pada tahun 2023.