fbpx

TAHUN INI TIADA REZEKI, TAK SEMESTINYA SAYA PUTUS ASA – ALIF IMRAN


Walaupun muncul juara musim 2021 dalam kategori One Make Race- Honda Dash 125 Challenge selepas merangkul enam gelaran sepanjang musim, Alif Imran Ahmad Husni tidak berjaya menawan mana-mana ‘Factory Team’ untuk melebarkan sayap ke tahap yang lebih tinggi.

Dengan harapan merantau lebih jauh, pelumba kelahiran Johor itu menampilkan prestasi yang cukup menyerlah apabila menutupkan tirai musim 2021, meraih gelaran dengan mengutip 173 mata.

“Apabila tiada menerima apa-apa tawaran daripada mana-mana pasukan saya agak kecewa. Namun saya tidak putus asa. Saya memilih untuk cuba Pro-Am Cup sebab saya mahu teruskan perjuangan dalam arena Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix bagi mencapai impian saya untuk muncul pelumba profesional di peringkat antarabangsa satu hari nanti.” jelas Alif.

Alif yang mula berkecimpung dalam arena sukan permotoran ketika berusia 16 tahun, melakukan debutnya dalam kategori Honda Dash 125 Challenge dan mengakhiri musim 2020 itu di tangga sepuluh teratas selepas mengutip 54 mata.

“Saya mula ada minat terhadap sukan jentera dua roda ini ketika saya berusia 15 tahun. Bermula hanya sekadar hobi, saya mula berlumba suka-suka. Ketika itu, ayah saya yang mengenalpasti bakat saya. Tahun berikutnya, ayah daftarkan saya berlumba di Malaysian Cub Prix dalam kategori One make. Saya memang teruja melihat cara pelumba-pelumba beraksi, kelajuan mereka, penonton bersorak dan gaya di atas litar.

“Tahun pertama iaitu pada 2020, saya agak ketinggalan sebab baru lagi. Banyak yang saya belajar pada tahun debut saya. Cara mengendali jentera di atas litar, cara mengawal kelajuan, strategi dan sebagainya. Tahun berikut saya agak matang di atas litar. Dengan pengalaman yang dapat menimba pada tahun pertama, saya berjaya mencatat keputusan yang agak memberangsangkan.

“Namun, apabila tidak dapat tawaran bagi tahun ini memang sangat kecewa. Buat masa ini bapa saya yang menampung segala kos bagi setiap perlumbaan. Ada kalanya kawan-kawan bapa akan membantu dari segi dana. Saya beri yang terbaik pada musim lalu dengan harapan akan dapat diserap oleh mana-mana pasukan namun tidak berjaya. Tetapi saya tidak akan putus asa. Saya tetap akan beri yang terbaik bagi musim ini,” katanya.

Pelumba berusia 18 tahun itu, yang membuka tirai Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix musim 2022 dengan langkah kanan apabila menjejaki podium di pusingan pertama tidak dapat mengekalkan rentak kecemerlangan pada pusingan-pusingan berikutnya. Masalah teknikal jentera yang tidak dapat dielak jelas menjejaskan peluang Alif untuk mempamerkan kemampuan sebenarnya.

Berbaki lagi dua pusingan Alif tetap optimis akan dapat mencari semula rentaknya untuk mengukuhkan lagi kedudukan beliau.

Katanya “Nak kejar kejuaraan itu mustahil sebab jurang mata antara saya dengan pendahulu kelas Honda challenge agak banyak. Tetapi saya masih mempunyai peluang untuk berada di tangga tiga teratas. Saya akan cuba terbaik dalam dua pusingan terakhir ini untuk menaiki podium. Insyallah, saya dapat mengakhiri perlumbaan tanpa apa-apa masalah dan saya akan cuba mengutip mata semaksimum mungkin.”