fbpx

KASMA YAKIN DENGAN PASUKANNYA

Pusingan ketiga Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix akan kembali ke Bandar Jasin Bestari pada hujung minggu. Kasma Daniel Kasmayuddin dari pasukan PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR akan berusaha untuk mempertahankan jumlah mata keseluruhannya di kategori CP150.

Setelah tiga tahun tidak berlumba di daerah Jasin, Kejuaraan Cub Prix kini akan kembali untuk memeriahkan lagi suasana sekaligus memberikan suatu pengalaman yang menguja kepada para peminat dan penyokong. Pelumba-pelumba kategori CP150 sudahpun bersedia untuk memberikan aksi terbaik dan di antara mereka, Kasma yang kini mendahului carta keseluruhan dengan jumlah sebanyak 35 mata sudah pasti akan kembali untuk memberikan saingan yang hebat.

Litar Sepang mungkin tidak memberikan kelebihan bagi Kasma dalam pengunaan jentera 150cc tetapi beliau telah mempamerkan kebolehannya untuk memahami litar-litar yang lebih teknikal. Ini terbukti dengan pencapaiannya yang hebat di litar-litar yang lebih kecil seperti di Terengganu, Batu Kawan dan Jempol. Kasma jelas memiliki pandangan yang berbeza terhadap litar-litar teknikal dan beliau mampu memaksimakan pengalaman dan kemahirannya dalam pengendalian jentera untuk meraih pencapaian yang bagus.

Kasma yang baru kembali selepas perlumbaan di kejuaraan “All Japan Road Race Championship” memberikan pendapat mengenai kemahiran berlainan yang diperlukan untuk bersaing. Beliau berkata, “Cabarannya tidaklah besar terutamanya dalam pengendalian jentera yang berlainan. Sudah pasti jentera besar memerlukan lebih banyak kekuatan fizikal berbanding dengan jentera yang kecil seperti yang digunakan dalam Kejuaraan Cub Prix. Tapi bagi saya, ini adalah tahun kedua berlumba di dua kategori yang berbeza maka saya sudahpun biasa dengan kelainan tersebut. Yang lebih ketara dan penting adalah “riding style”.”

“Litar Jasin mempunyai kelebihan “straight line” dan mungkin lebih cabaran bagi jentera Yamaha. Saya tidak mempunyai masa yang cukup untuk membuat persediaan untuk pusingan ketiga disebabkan oleh perlumbaan di Sugo minggu lepas. Namun begitu, saya agak yakin dengan kebolehan pasukan saya dalam penyediaan setup yang bagus untuk perlumbaan ini. Saya lebih gemar litar teknikal. Bagi pusingan di Jasin, sudah pasti saya akan berikan yang terbaik.”

Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com

Ikuti kami di Facebook