Md Adib Arsyad dari pasukan Yamaha Estremo 27 Racing telah menunjukkan kemahirannya di litar Jasin apabila beliau mencatatkan masa terpantas bagi sesi kelayakan di kategori Wira KBS pada petang ini di pusingan ketiga Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix.
Di sesi latihan pagi tadi, Emil Idzhar Ezuan dari pasukan Yamaha Estremo 27 Racing mencatatkan masa terpantas pada 54’193 diikuti oleh Md Farish Iqmal dari pasukan Bad Lab Honda KC Racing pada 54’247 dan Farres Putra Md Fadhil dari pasukan V-Fiertech Wiramuda Racing pada 54’303s. Bagi sesi latihan kedua pula, Adib Arsyad mencatatkan masa terpantas dengan catatan masa 56’474s. Amirun Haziq Johan dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – 31 Racing mengambil tempat kedua terpantas dengan catatan masa 56’501s diikuti oleh Emil dengan catatan masa 56’645s.
Bagi sesi kelayakan pada petang tadi, Adib telah menunjukkan kemampuannya untuk meneruskan cabaran di litar secara konsisten selama 10 minit sebelum menamatkan sesi tersebut dengan lap masa terbaik pada 53’457s. Selepas dua pusingan yang tidak begitu memuaskan, pelumba jentera jenis Yamaha ini kembali dengan nada positif pada pusingan ketiga.
Menurut Adib, “Bagi saya, trek ini bagaikan taman tema air sebab itu saya suka. Tadi pun, dekat “roundabout”, agak licin tetapi saya cuba fikir panjang bagaimana nak “push” sebab ramai pelumba yang mengurangkan kelajuan di situ. Saya cuba buat yang terbaik walaupun jentera saya mengalami masalah. Cara tunggangan memang ada perbezaan bagi trek basah dan kering tetapi saya tidak mempunyai masalah bagi kedua-dua keadaan trek tersebut. Saya akan teruskan usaha ini untuk perlumbaan esok.”
Di tempat kedua terpantas bagi sesi kelayakan adalah Adib Hareez Hazwat dari pasukan Bad Lab Honda KC Racing dengan catatan masa 53’700s.
Emil pula mencatatkan masa ketiga terpantas dengan catatan masa 53’808s.
Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com
Ikuti kami di Facebook