Kasma Daniel Kasmayudin dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor telah memaparkan kelebihannya di Litar Permotoran Terengganu baru-baru ini apabila beliau menyambar kedudukan di tempat pertama pada saat-saat terakhir bagi kategori CP150.
Kejayaannya di pusingan keempat Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix telah menempatkan beliau di tangga kelapan secara keseluruhan setakat ini. Pada musim lepas, Kasma menduduki tempat kelima secara keseluruhan.
Musim ini, Kasma kelihatan masih mencari momentumnya pada tiga pusingan pertama dan berjaya dengan nada positif di Litar Terengganu.
Menurut Kasma, “Bagi saya, pusingan kedua dan ketiga adalah perlumbaan yang kurang bernasib baik. Tetapi, saya cuma terus kekal positif dan percaya pada diri sendiri. Saya kembali ke pusingan keempat dengan semangat yang lain kerana saya memang ingin mengumpulkan sebanyak mata yang mungkin. Pada ketika itu, saya sudah jauh ketinggalan dalam kedudukan keseluruhan berbanding dengan pelumba-pelumba yang lain.”
“Pusingan keempat bagi saya memang sengit kerana “laptime” semua tidak jauh berbeza. Saya gemari litar yang agak teknikal maka saya telah memulakan perlumbaan pada hari itu dengan fikiran tenang dan dengan rezeki saya selama ini bekerja keras dan juga doa ibu-bapa saya, Alhamdulillah, saya menang di litar tersebut.”
“Untuk pusingan kelima, saya akan terus berlumba secara konsisten dan sudah semestinya untuk mendekatkan lagi jumlah mata keseluruhan dengan pelumba-pelumba di atas. Saya memang tidak sabar untuk berlumba di Jempol kerana sudah bertahun tidak berlumba di sana.”
Pemilik pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor, Yong Ying Hoe berkata, “Untuk pusingan Jempol, pasukan kami telah membuat persediaan lebih awal kerana kita ada masa yang cukup untuk menyiapkan jentera.”
“Kami akan buat yang terbaik untuk pusingan seterusnya.”
Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com
Ikuti kami di Facebook