fbpx

JUARA CP150 RAMPAS SEMULA TAKHTA, JUARA CP125 MILIK SHAFIQ RASOL DAN ADAM HAIKAL MUNCUL WIRA KBS

Begitu pantas masa berlalu, Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix yang membuka tirainya Mac lalu, bakal melabuhkan tirainya dengan pusingan Finale di Litar Batu Kawan, minggu ini dengan menyajikan pertarungan sengit terutama membabitkan perebutan gelaran keseluruhan bagi musim 2022 manakala tiga kategori sudahpun diketahui Raja yang memiliki takhtanya.

Satu platform cukup berprestij di peringkat kebangsaan yang mengetengahkan bakat-bakat sukan permotoran dua roda tempatan itu juga bakal memasuki dekad ke-tiga musim depan.

Agak-agak berapa ramai bakat tanah air telah dilahirkan dan dibentukkan untuk memberi saingan di persada dunia melalui platform tersebut? Tidak boleh dikira. Ada pelumba yang melebarkan sayap sehingga ke Asia mahupun Antarabangsa dan ada juga pelumba memulakan kariernya melalui peluang yang diberi melalui MCP.

Bagi musim ini, beberapa juara bagi kategori masing-masing sudahpun diumumkan apabila mereka berjaya mengukuhkan kedudukan seawall pusingan ke-9 dengan aksi cemerlangnya manakala ada juga kategori yang masih menyaksikan saingan sengit dan akan juaranya akan diketahui minggu ini.

Apa kata kita sedikit imbas kembali prestasi yang ditampilkan Juara-juara bagi tiga kategori utama yang diumumkan sejurus tamatnya pusingan ke -9!

RAJA LITAR YANG MERAMPAS SEMULA TAKHTA CP150 – AHMAD AFIF AMRAN

Nama Afif bukanlah asing dalam arena sukan permotoran. Bukan sahaja di peringkat kebangsaan malah juga di peringkat Asia. Pelumba berusia 27 tahun itu yang berada dalam arena Cub Prix lebih sedekad bermula dengan kategori CP115 dan kini berada di kategori CP150 telah melakar pelbagai pencapaian yang memberangsangkan.

Juara kategori Elit dua kali berturut-turut pada tahun 2018 dan 2019 yang mengalami kekecewaan dua tahun berturut-turut pada 2020 dan 2021, semangatnya untuk mengubati kekecewaan itu jelas terkobar-kobar.

Bagi musim 2022, permulaan yang agak baik bagi Afif apabila menjuarai pusingan pertama dan kedua berturut -turut dan sedikit ketinggalan pada pusingan ke-tiga. Turun naik adalah adalah satu kebiasaan dalam arena sukan tetapi bangkit dari ketinggalan tanpa putus asa memerlukan jiwa yang kental yang harus dipuji.

Skil pengedalian jentera dan kemampuan membuat keputusan dengan pantas pelumba Ganu itu, membolehkan beliau menaiki podium sebanyak enam kali termasuk tiga kemenangan utama di pusingan pertama, kedua dan kelapan.

“Saya bersyukur dapat mencapai sasaran saya di mana saya merampas semula gelaran juara selepas dua tahun tidak berjaya mencapai. Dari awal lagi semangat saya membara untuk merangkul gelaran untuk kali ketiga. Dari segi prestasi saya sendiri boleh nampa prestasi diri telah meningkat sejak mula-mula berkecimpung dalam bidang ini. Bagi musim ini saya agak berpuas hati. Jika saya dapat mengakhiri pusingan seterusnya di podium ia juga satu langkah positif untuk musim hadapan” katanya Raja Litar CP150 itu.

KEJUARAAN SULUNG, SHAFIQ RASOL MENGAKHIRI MUSIM DENGAN TENANG

Sementara bagi, Juara kategori Novice, Mohd Syafiq Rasol yang menjulang gelaran Juara CP125 buat julung kalinya tetap tidak dapat huraikan perasaannya.

Jika kita melihat prestasinya bagi musim ini, pelumba kelahiran Melaka itu menaiki podium sebanyak enam kali musim ini termasuk tiga kemenangan di podium pertama sepanjang musim sekaligus meraih gelaran juara keseluruhan selepas mengutip 159 mata.

Shafiq juga memulakan saingan Kejuaraan MCP musim ke-29 dengan langkah kanan, sedikit ketinggalan bermula pusingan kedua sehingga pusingan ke-empat ketika menyesuaikan dirinya dengan set-up jentera termasuk isu teknikal. Seperti kita semua sedia maklum Kategori CP125 boleh diklasifikasikan sebagai medan menguji spek jentera pasukan industri.

Masing-masing akan memperteruhkan jentera miliknya manakala pelumbanya akan memperagakan kecekapan mereka untuk menonjolkan kemampuan jenteranya. Harus memiliki keberanian untuk mengungguli kategori ini!

Kini dengan tenang Shafiq menyatakan, “Walaupun saya sudah digelar sebagai Juara keseluruhan saya tetap akan melakukan persiapan rapi untuk pusingan seterusnya sebab saya masih menyasarkan podium untuk Finale MCP nanti. Cuma kali ini kurang tekanan dan berlumba dengan lebih seronok.

“Secara jujurnya, ini adalah tahun yang paling gemilang dalam karier saya sebagai pelumba profesional. Mekanik saya sangat membantu sehingga bolehjadikan saya juara keseluruhan. Saya amat berterima kasih kepada pasukan saya untuk memberikan yang terbaik kepada saya.”

RAMPAS GELARAN WIRA KBS DENGAN MERAIH PODIUM DI SETIAP PUSINGAN – MOHD ADAM HAIKAL JAHAR

Jika kita lihat kategori yang boleh disifatkan ‘ Lubuk Bakat’ dalam arena Kejuaraan Malaysian Cub Prix, iaitu kategori WIRA KBS, ia merupakan satu batu loncatan bagi anak muda yang ingin menyelami sukan permotoran dua roda dengan lebih mendalam dan merebut peluang untuk berentap ke tahap yang lebih tinggi.

Raja ‘Lubuk Bakat’ musim 2022, Mohd Adam Haikal Jahar, tetap memeranjatkan kesemua peminat sukan permotoran tempatan dengan kehandalannya. Adam bukan sahaja berjaya merangkul gelaran juara tetapi meraih podium di setiap pusingan dan mengukuhkan kedudukannya yang sukar digugat dengan mengutip 177 mata. Sudah pastinya anak mud aitu mahu berentap ke saingan yang lebih sengit di musim depan.

“Ia satu pencapaian yang sangat menggembirakan bagi saya dan paling penting ia membanggakan bapa saya yang menjadi tulang belakang saya sehingga hari ini. Pastinya semua pelumba mempunyai azam masing-masing dan semua akan mahu ke Kejuaraan Motosikal Dunia. Saya pun sama. “Tetapi buat masa ini untuk mempersediakan diri saya ke arah itu, saya mahu bersaing dengan pelumba-pelumba yang lebih berpengalaman dan kompetitif. Itu sasaran saya untuk musim depan.”