fbpx

JEMPOL PENENTU GELARAN JUARA


Saingan Pusingan 9 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2016 dijangka sengit dengan beberapa pelumba termasuk pendahulu keseluruhan CP130, Kasma Daniel Kasmayuddin berpeluang untuk dinobatkan selaku juara keseluruhan di Jempol, Negeri Sembilan pada 22 dan 23 Oktober ini.

dsc_1009

Berlangsung di litar sepanjang 1.104km, litar sementara di kawasan utama Felda ini tidak banyak berbeza berbanding litar-litar yang berada dalam kalendar Kejuaraan Cub Prix yang lain namun sepanjang dua musim lepas, litar ini menjadi penentu gelaran juara keseluruhan bagi kategori CP130 dan CP115.

Pada tahun 2014 menyaksikan Mohd Zaqhwan Zaidi dan Mohd Izzat Zaidi bergelar juara keseluruhan bagi kategori CP130 dan CP115 manakala pada tahun 2015, Ahmad Fazrul Sham dan Kasma Daniel Kasmayudin pula mengesahkan gelaran selaku juara CP130 dan CP115.

Sejarah serupa dijangka berulang pada tahun ini. Dalam kelas CP130, pertarungan terarah kepada dua pelumba PETRONAS Yamaha Maju Motor, Kasma dan Ahmad Fazli Sham yang kini dibezakan dengan 22 mata dimana Kasma berada di tangga teratas dengan 158 mata.

Seandainya Kasma menamatkan perlumbaan dengan berkelebihan tiga mata ke atas Fazli sudah cukup untuknya dinobatkan selaku juara keseluruhan musim 2016 sekaligus menjadi pelumba ketiga yang bergelar sebagai juara keseluruhan CP130 di Jempol.

nrp_2788

“Saya akan menghadapi perlumbaan minggu ini seperti biasa, tanpa tekanan ataupun kebimbangan terhadap peluang memenangi gelaran. Saya yakin pasukan seperti biasa akan mempersiapkan jentera terbaik untuk kami,” jelas Kasma.

“Saya mempunyai kenangan manis di litar Jempol kerana dinobatkan sebagai juara keseluruhan CP115 di sini. Saya akan mencuba sehabis baik untuk sekali lagi bergelar juara keseluruhan di litar ini dan meneruskan kesinambungan litar Jempol sebagai litar bersejarah buat pelumba.”

Sementara itu, berbeza dengan musim lepas, saingan CP115 begitu sengit dengan tiga pelumba teratas, pendahulu, Md Akid Aziz dan rakan sepasukan, Md Haziq Fairues yang berada di kedudukan ketiga serta Tengku Amirul Haffirudin di kedudukan kedua hanya dibezakan dengan 14 mata sambil Ahmad Syukran Aizat di kedudukan keempat turut mengintai peluang untuk mengejar gelaran terbaik.

Dengan kelebihan 46 mata selaku pendahulu, Md Shafiq Ezzariq hanya perlu mengutip sekurang-kurangnya empat mata sahaja bagi mengesahkan gelaran juara keseluruhan kategori WIRA sekaligus mengekalkan gelaran ketiga berturut-turut buat pasukan Idemitsu Kozi Yam Honda Racing

Pusingan 9 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS akan bermula pada 9 pagi 22 Oktober dan 23 Oktober. Tiada sebarang bayaran masuk kepada pengunjung.