IZZAT BUANG BADI ‘DNF’

Mohd Izzat Zaidi Salehan perlu mengelak daripada sebarang insiden kemalangan setelah gagal menamatkan perlumbaan (DNF) dalam dua pusingan perlumbaan lepas apabila turun beraksi pada pusingan kelapan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Bandar Seri Jempol, Negeri Sembilan, 14 dan 15 Oktober ini.

Pelumba Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing itu memperaga aksi cemerlang sepanjang dua pusingan lepas apabila berjaya memulakan perlumbaan dari petak kedua pada pusingan keenam di Jasin dan petak pertama sewaktu perlumbaan lepas di Pasir Puteh, Kelantan.

Namun malang buat pelumba kelahiran Selangor itu apabila gagal untuk menamatkan kedua-dua pusingan perlumbaan menyaksikan keciciran mata dan sekadar menghuni tangga ke-13 keseluruhan dengan mengumpul 28 mata.

“Saya tidak tahu dimana silapnya. Sama ada tidak bernasib baik atau mungkin sedikit gementar apabila mendahului lain-lain pelumba,” jelas pelumba berusia 22 tahun itu.

Tambahnya, “Saya tidak boleh mengulangi kesilapan serupa minggu ini. Selepas beberapa pusingan, jentera kami semakin laju dan mampu menduduki kelompok depan. Malangnya saya mensia-siakan kelebihan tersebut.

“Saya juga telah membuang banyak mata perlumbaan. Saya berada di kedudukan ketujuh sewaktu pusingan kelima di Selangor tetapi kini jatuh ke kedudukan ke-13. Saya perlu memunngut seberapa banyak mata di Jempol untuk kembali bersaing di kelompok atas. Hanya tinggal tiga pusingan sahaja lagi untuk saya mengejar sasaran menamatkan musim dalam kelompok lima pelumba terbaik.”