Di Pusingan 6 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix yang berlangsung di Litar Permotoran Terengganu hari ini menyaksikan pelumba PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING, Md Izam Ikmal Izamli muncul terpantas pada sesi kelayakan kategori CP125 B.
Pada sesi latihan 2 Izam mencatatkan masa terpantas pada 51:049s. Di tempat kedua adalah Danial Johan dari ONEXOX TKKR RACING TEAM dengan catatan masa terpantas 51:379s diikuti Adib Hareez Hazwat dari SCK HONDA RACING TEAM yang mencatat 51:827s.
Manakala sesi kelayakan menyaksikan Izam mengetuai kumpulan diikuti Danial Johan dari ONEXOX TKKR RACING TEAM serta Md Farish Iqmal Khayrul Elyas dari HONDA KC RACING.
Kedudukan kelompok teratas kekal sama sebelum Md Harith Farhan Baharin dari HONDA AFB TECH RACING memintas kedudukan Danial pada minit terakhir.
Sesi kelayakan tamat dengan Izam di tempat pertama dengan catatan masa terpantas 50:623s.
Izam berkata, “Pada sesi latihan 1, kami sudah nampak potensi pada waktu pagi kerana biasanya masa pagi lebih laju berbanding petang. Pada sesi latihan 2, suhu agak panas. Semasa sesi kelayakan, saya berjaya mendapatkan pelarasan yang baik dan juga menemui rentak saya di atas trek. Walau bagaimanapun, ia agak mencabar kerana keadaan trek yang panas. Namun, saya akan berusaha untuk memperbaiki masa pusingan saya lagi pada pagi esok.”
Harith menduduki tempat kedua selepas mencatat masa terpantas 51:472s meletakkan Danial di tempat ketiga pada 51:604s.