Pusingan 6 PETRONAS Malaysian Cub Prix di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang (Selatan) menyaksikan sesi kelayakan penuh aksi apabila Farres Putra Md Fadhill dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING menampilkan tunggangan bertenaga untuk muncul sebagai pelumba terpantas bagi kategori Wira KBS.
Farres yang memasuki litar ketika sesi berbaki 10 minit terus memberikan tekanan kepada para pencabar dengan catatan masa konsisten setiap pusingan, sebelum merekodkan pusingan emas seawal pusingan ke-3 menerusi catatan 1’21.218s, sekali gus memperbaharui rekod terpantas 1’21.290s yang turut dilakukannya dalam sesi latihan 2. Pencapaian tersebut mengukuhkan reputasinya sebagai antara calon utama kemenangan minggu ini.
Md Akif Abdullah dari ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM mencuba sehabis daya untuk menyaingi kelajuan tersebut namun terpaksa akur di kedudukan kedua, hanya 0.157s di belakang dengan masa 1’21.375s, manakala rakan sepasukan Farres, Raiyan Khardanee Md Sanusi mengekalkan prestasi konsisten untuk melengkapkan kelompok tiga terbaik.
Farres berkata, “Kali ini kredit perlu saya berikan kepada bos dan mekanik pasukan kerana banyak membantu saya. Dalam sesi kelayakan tadi saya ingat saya tidak akan dapat petak utama, sebab saya lihat papan pit menunjukkan bahawa saya berada di kedudukan keempat dan ketiga. Saya tidak nampak nama saya di kedudukan pertama. Saya hanya bersabar dan percaya pada rezeki Allah. Alhamdulillah, saya dapat posisi ‘Pole’. Kita akan cuba buat yang lebih baik dalam perlumbaan esok.”
Turut memberikan saingan memberangsangkan dalam kelompok lima terpantas ialah Md Arfan Ashraf Md Mazlan dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING dan Md Syahmi Aiman Md Shafie dari YAMAHA ESTREMO 27 RACING yang masing-masing mencatat masa 1’22.037s dan 1’22.053s, jelas menandakan perlumbaan minggu ini bakal menyajikan aksi penuh kejutan.
TOP 5 FASTEST – QUALIFYING SESSION
- Farres Putra Md Fadhill – PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING (1’21.218s)
- Md Akif Abdullah – ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM (1:21.375s)
- Raiyan Khardanee Md Sanusi – PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING (1’21.444s)
- Md Arfan Ashraf Md Mazlan – PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING (1’22.037s)
- Md Syahmi Aiman Md Shafie – YAMAHA ESTREMO 27 RACING (1’22.053s)
TOP 5 FASTEST – QUALIFYING SESSION
- Farres Putra Md Fadhill – PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING (1’21.218s)
- Md Akif Abdullah – ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM (1:21.375s)
- Raiyan Khardanee Md Sanusi – PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING (1’21.444s)
- Md Arfan Ashraf Md Mazlan – PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING (1’22.037s)
- Md Syahmi Aiman Md Shafie – YAMAHA ESTREMO 27 RACING (1’22.053s)

