fbpx

IQRAM BURU TEMPAT KETIGA TERATAS

Pusingan kesembilan Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix akan kembali ke Kompleks Sukan Permotoran Tangkak hujung minggu ini. Ahmad Iqram Danish dari pasukan Yamaha Estremo 27 Racing kini lebih bersemangat untuk memperkukuhkan kedudukannya bagi kategori Wira KBS.

Musim ini agak berbeza bagi Iqram sebagai seorang “rookie” yang beralih dari kategori Yamaha PETRONAS Super Series ke kategori Wira KBS setelah menamatkan perlumbaan musim lepas di tempat keempat secara keseluruhan. Di kategori “One-Make” tersebut, beliau telah menaiki podium sebanyak lima kali. Aksinya pada musim ini tidak kurang hebat. Iqram telah menunjukkan potensi sebagai seorang pelumba yang berkaliber dan mampu bersaing secara kompetitif dengan pelumba-pelumba lain. Beliau kini menduduki tangga ketiga secara keseluruhan dengan jumlah sebanyak 118 mata.

Menurut Iqram, “Pada musim ini, saya tidak begitu yakin dan agak susah juga untuk menyesuaikan diri sebab ini adalah tahun pertama saya di kategori Wira. Lebih-lebih lagi dengan jentera “injection” buat pertama kali. Walaupun pencapaian saya setakat ini, boleh dikatakan agak memuaskan, namun masih banyak lagi untuk saya belajar. Bagi saya, perbezaan yang ketara di antara “one-make” dengan kategori ini adalah pelumba-pelumba dimana, di kategori “one-make”, ramai yang baru manakala di kategori Wira, ramai yang sudah berpengalaman.”

“Selalunya, untuk mengatasi cabaran di litar teknikal, saya banyak bertanya kepada pelumba-pelumba yang “senior”. Pasukan saya banyak membantu saya juga dengan memberikan tunjuk ajar yang sewajarnya. Input dari data juga amat penting kerana dengan itu, kami dapat memerhatikan tahap dan juga pencapaian saya. Pelumba sepasukan saya juga banyak yang mengajar saya cara tunggangan yang lebih elok. Latihan-latihan yang buat untuk mempertingkatkan prestasi adalah dari segi kecergasan fizikal dan juga latihan motor. Matlamat saya pada musim ini adalah untuk mendapat tempat ketiga teratas untuk musim ini.”

Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com

Ikuti kami di Facebook