fbpx

IQBAL BELAJAR DARI KESILAPAN


Mohd Iqbal Amri Abd Malek berharap dapat meneruskan aksi terbaik dan menjadi ‘pengacau’ pada perlumbaan Pusingan 7 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Pasir Puteh Sentral, Kelantan, 8 dan 9 September ini.

Pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ itu beraksi cemerlang dalam perlumbaan lepas di Jasin, Melaka apabila mendahului kedudukan sepanjang beberapa pusingan awal perlumbaan CP150 sebelum dipintas pemenang, Kasma Daniel Kasmayudin (PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor).

Pelumba itu kemudiannya terjatuh ketika bersaing dalam kelompok kedua namun berjaya meneruskan perlumbaan dan sekadar menamatkan perlumbaan di kedudukan kelapan yang menyaksikan Mohd Ramdan Mohd Rosli dan rakan sepasukan, Ahmad Afif Amran muncul naib juara dan pemenang tempat ketiga.

“Saya tidak menyangka dapat mendahului perlumbaan kerana hanya bermula dari petak kelima namun ia adalah petak mula terbaik saya. Kekurangan pengalaman dan mungkin juga stamina menyebabkan saya dipintas Kasma dan lebih malang apabila terjatuh di pertengahan perlumbaan,” jelas pelumba berusia 21 tahun itu.

“Pengalaman berguna di Jasin diharap dapat membantu saya pada perlumbaan minggu ini. Selain misi untuk mengejar podium, saya mahu menjadi ‘pengacau’ dan membantu Afif untuk terus kekal memberikan tentangan kepada Kasma dalam senarai keseluruhan pelumba.”

Setakat enam pusingan perlumbaan, Kasma kini berada di tangga teratas dengan 100 mata manakala Afif di tangga kedua dengan 83 mata. Ramdan yang mula beraksi pada pusingan keempat berada di kedudukan ketiga dengan 45 mata.

, , ,