fbpx

AZROY FOKUS UNTUK MENANG

Azroy Hakeem Anuar hanya fokus untuk menang berbanding mengejar gelaran keseluruhan dalam saingan CP115 menjelang perlumbaan Pusingan 7 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Pasir Puteh Sentral, Pasir Puteh, Kelantan, Jumaat dan Sabtu ini.

Pelumba Givi Honda Yuzy Racing itu mempamer aksi cemerlang dengan memenangi dua perlumbaan berturut-turut pada pusingan kelima di Serdang, Selangor dan pusingan keenam di Jasin, Melaka namun tercicir di tangga keempat dalam senarai keseluruhan, 55 mata di belakang pendahulu.

Selepas enam pusingan, Azroy yang tidak beraksi dalam dua pusingan awal musim 2017 sekadar mengumpul 50 mata manakala pendahulu, Md Akid Aziz (PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor) mengumpul 105 mata dengan hanya berbaki empat perlumbaan sahaja lagi.

“Saya kehilangan banyak mata setelah tidak beraksi pada dua pusingan awal, tetapi gagal menamatkan perlumbaan pada perlumbaan pusingan keempat lebih merugikan. Secara matematik, peluang memang masih ada tetapi sangat sukar, namun saya tidak akan mengalah,” jelas Azroy.

Tambahnya, “Fokus utama saya adalah untuk meraih hatrik pada minggu ini. Tahun lalu saya berjaya menaiki podium di Kelantan dan minggu ini diharap dapat mencatat keputusan lebih baik. Saingan pasti lebih sukar kerana saya jangka Akid akan bangkit untuk kembali ke atas podium sebagai pemenang.”