fbpx

IQBAL AMRI BERI KEJUTAN DI LITAR TANGKAK

Mohd Iqbal Amri dari pasukan Yamaha GenBlue AHM Motorsports membuat kejutan apabila berjaya mencatat masa terpantas CP150, 45.589s

Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix bersambung dengan pusingan 7 dan 8 bakal berlangsung di Litar Tangkak dari 5 hingga 7 November ini. Setelah lebih kurang sebulan berehat, para pelumba dan pasukan bakal berdepan dengan keadaan yang agak tidak menentu di litar sepanjang 1.025km itu.

Beraksi di atas litar yang basah dan licin, Mohd Iqbal Amri dari pasukan Yamaha GenBlue AHM Motorsports membuat kejutan apabila berjaya mencatat masa terpantas CP150, 45.589s. Pencapaian ini merupakan kali pertama pelumba pasukan Yamaha GenBlue AHM Motorsports tersebut mencatat masa terpantas dalam sesi kelayakan CP150 musim ini.

Iqbal Amri sendiri menyatakan bahawa dia turut terkejut dengan keputusan demikian.

“Walaupun hujan tidaklah selebat yang disangka, tetapi keadaan litar amat licin. Sebenarnya, saya hanya memberi tumpuan kepada cara tunggangan saya sendiri sahaja dan tidak pernah terlintas dalam fikiran yang pelumba-pelumba lain, terutamanya mereka yang sedang mendahului kejuaraan, akan turut menggunakan strategi yang begitu konservatif,” jelas Iqbal.

Berbekalkan keputusan dari sesi kelayakan ini, Iqbal Amri yang kini berada di tangga ke-16 keseluruhan, akan bersiap sedia untuk menyertai sesi SuperPole CP150 untuk kali ketiga musim ini.

Pemenang Pusingan 6 di Terengganu, Kasma Daniel Kasmayudin dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor, mencatat masa kedua terpantas dengan 45.592s diikuti pendahulu kejuaraan Azroy Hakeem Anuar dengan 45.741s.

 

Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com

Ikuti kami di Facebook