Kejohanan PETRONAS Malaysian Cub Prix yang kini rancak semula dengan penganjuran Pusingan 3 dan 4 di Litar Utara Sepang telah menyaksikan pelbagai rintangan cuaca sepanjang minggu perlumbaan. Dari kepanasan yang begitu terik pada sesi kelayakan sehinggalah hujan lebat pada hari perlumbaan untuk Pusingan 3, cabaran cuaca ini menguji kebolehan semua pelumba dan kru pasukan.
Keadaan cuaca yang sering bertukar bermakna pasukan serta pelumba yang paling bersedia untuk menghadapi perubahan akan mendapat kelebihan dalam perlumbaan Pusingan 3 tadi. Pelumba dan pasukan yang paling bersiap-sedia merupakan Azroy Hakeem Anuar dan Honda Yuzy Idemitsu Team.
Pasukan Honda Yuzy Idemitsu Team berjaya menyesuaikan penyelarasan motosikal pasukan untuk menghadapi perlumbaan basah. Memulakan perlumbaan dari petak kedua, Azroy berjaya memimpin perlumbaan seawal pusingan kedua.
Persembahan Azroy yang begitu konsisten sukar digugat. Pada akhir perlumbaan sepanjang 11 lap itu, Azroy mencatat kemenangan dengan catatan masa 16’25.297 saat, 6.890 saat di hadapan Mohd Izzat Zaidi Salehan dari pasukan Ipone Yamaha YY Pang Racing Team dan 26 saat di hadapan pelumba tempat ketiga, Kasma Daniel Kasmayuddin.
“Sememangnya pasukan kami mengidamkan perlumbaan basah kerana jelas pasukan kami mempunyai kelebihan dalam perlumbaan basah,” kata Azroy yang baru berjaya mendirikan rumah tangga semasa kejohanan Cub Prix terpaksa direhatkan selama lima bulan.
Azroy kini mendahului kejohanan dengan 45 mata, disusuli Mohd Izzat Zaidi di tangga kedua dengan 41 mata dan Mohd Muzakkir Mohamed jatuh ke tangga ketiga dengan 33 mata.
Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com
Ikuti kami di Facebook