fbpx

HELMI MULA MENGORAK LANGKAH

Pelumba pasukan Hi Rev SCK Honda Racing, Md Helmi Azman tampil dengan tunggangan bergaya pada aksi pembukaan Pusingan 5 Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas di Litar Permotoran Kompleks Sukan Negeri Kuala Nerus, Terengganu hari ini.

Selepas dirundung kekecewaan pada Pusingan 2 (Batu Kawan) dan 3 (Tangkak) gara-gara gagal meraih sebarang mata, rentak pelumba asal Selangor itu dilihat lebih bertenaga pada saingan di negeri Pantai Timur ini.

Pada sesi kelayakan kelas CP150 hari ini, Helmi tampil dengan memperagakan tunggangan lebih bergaya, sekali gus merekodkan masa terpantas sepusingan iaitu 49.721 saat (s).

Catatan yang dilakukan oleh Helmi pada sesi kelayakan itu membolehkannya untuk bersaing dalam Superpole esok bagi menentukan kedudukan petak untuk mengharungi perlumbaan sebenar.

Ia peluang terbaik buatnya untuk menebus kekecewaan lalu kerana dia pernah bergelar naib juara pada aksi Pusingan 1 di Jasin, Melaka Mac lalu.

Hari ini, jentera Honda yang menjadi taruhannya juga berada dalam situasi terbaik dan ia turut membantu melonjakkan semangatnya untuk mengharungi sesi kelayakan itu dengan penuh yakin.

“Saya bertekad untuk meneruskan momentum cemerlang ini dan berharap dapat mengulanginya pada saingan Superpole esok. Jika semuanya berjalan lancar terutama tahap kestabilan jentera, peluang untuk melakukan catatan masa terpantas mampu dicapai,” jelas Helmi yang kini berada di kedudukan ke-12 keseluruhan dengan 27 mata.

Begitupun, dia bermula agak perlahan pada sesi latihan bebas pertama apabila sekadar mencatat masa 50.147s, namun mula menunjukan peningkatan pada sesi kedua selepas merekodkan masa 49.669s.

Turut tampil cemerlang pada sesi kelayakan hari ini adalah pendahulu keseluruhan, Ahmad Afif Amran (Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing yang merekodkan masa kedua terpantas pada sesi kelayakan iaitu 49.750s.

Pelumba asal Terengganu itu dilihat sebagai pilihan untuk menguasai saingan di negeri kelahiranya esok.

Pelumba pasukan Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor, Md Akid Aziz turut mengorak langkah bergaya selepas menamatkan sesi kelayakan di kedudukan ketiga terpantas dengan masa 49.785s.

Sebelum itu, Akid melakukan catatan masa 49.184s ketika mengharungi sesi latihan bebas kedua.

“Hari ini, keadaan jentera memang agak stabil walaupun masih ada beberapa aspek yang perlu dipertingkatkan. Setakat ini nampak lancar dan berharap dapat memaksimumkan kemampuan jentera pada perlumbaan esok,” jelas Akid.

Sejumlah 24 pelumba akan beradu kecekapan dalam kelas CP150 esok termasuk bekas pelumba Moto2 negara, Md Zaqhwan Zaidi (Idemitsu Honda Yuzy Racing) yang kembali mewarnai saingan Cub Prix selepas tidak beraksi pada Pusingan 4 di Pontian bulan lalu.

Pelumba-pelumba lain yang perlu diberi perhatian termasuk Azroy Hakeem Anuar (Idemitsu Honda Yuzy Racing) Md Muzakkir Mohamed (ONEXOX TKKR SAG Team) dan juga rakannya, Nazirul Izzat Md Bahauddin.

 

Keputusan sesi kelayakan CP150 (5 teratas)

Md Helmi Azman (SGR) Hi REV SCK Honda Racing – 49.721s

Ahmad Afif Amran (TRG) Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing – 49.758s

Md Akid Aziz (KUL) Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor – 49.785s

Md Muzakkir Mohamed (SGR) ONEXOX TKKR SAG Team – 49.911s

Azroy Hakeem Anuar (SGR) Idemitsu Honda Yuzy Racing – 49.964s