fbpx

FORMAT KELAYAKAN KATEGORI WIRA DITUKAR


20160310_news3Pelumba-pelumba kategori Wira Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS bagi musim 2016 akan berhadapan cabaran baharu apabila kedudukan grid perlumbaan akhir akan menggunakan sistem kelayakan ‘Shoot-Out’ bermula pusingan pertama di Litar Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps), Selangor pada 12 dan 13 Mac ini.

Sebelum ini kedudukan grid perlumbaan akhir kategori Wira menggunakan sesi kedudukan pelumba dalam sesi saringan namun bagi menjadikan saingan lebih kompetitif, pelumba Wira akan menjalani sesi kelayakan Shoot Out seperti yang digunakan bagi kategori CP115.

Pengenalan sesi Shoot Out dalam kategori khusus kepada pelumba berusia 13 hingga 17 tahun ini menyaksikan lima pelumba terbaik dari setiap kumpulan dalam sesi Ujian Masa akan layak ke sesi Shoot Out bagi menentukan kedudukan petak mula perlumbaan akhir.

“Perlumbaan Wira merupakan kelas awal untuk pelumba muda beraksi dalam kejuaraan ini. Disebabkan mereka kurang berpengalaman, jadi kami perlu memberikan lebih banyak sesi saringan untuk mereka menghadapi sebarang tekanan sewaktu berlumba,” jelas Ron Hogg, Pengarah Safe Aim Mutual Sdn Bhd, promoter bagi Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS.

“Bagaimanapun, kejayaan siri satu pengeluar yang dikendalikan oleh pengeluar jentera telah merubah situasi perlumbaan. Pada hari ini pelumba-pelumba Wira kebanyakannya datang dari kelas satu pengeluar dan telah mempunyai pengalaman berlumba. Jadi sesi Saringan yang diguna pakai sebelum ini tidak lagi sesuai. Dengan memperkenalkan sesi Shoot Out ini, pelumba akan cuba mendapatkan aksi terbaik setiap kali mereka berada di litar.”

Peminat sukan permotoran di Selangor boleh menyaksikan perlumbaan secara percuma di Litar Maeps yang menyajikan cabaran berbeza dalam kalendar Kejuaraan Cub Prix. Litar sepanjang 1.110km ini mempunyai laluan lurus yang panjang dan berbukit serta beberapa selekoh yang sempit dan mencabar.

“Pelumba-pelumba baharu semakin bertambah setiap tahun. Momentum sukan permotoran di Malaysia berterusan meskipun terdapat pelbagai halangan dan cabaran. Untuk itu, kami mahu berterima kasih kepada PETRONAS kerana komitmen dan kesungguhan mereka terhadap perkembangan sukan permotoran di Malaysia. Dengan sokongan mereka, bakat-bakat baharu terus dilahirkan melalui landasan perlumbaan ini,” simpul Ron.

Parkir dan masuk adalah percuma kepada pengunjung-pengunjung Pusingan 1 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2016. Bagi yang terlepas aksi di Litar MAEPS, saksikan siaran langsung perlumbaan di TV1 pada jam 2 petang hingga 4.30 petang.

,