Siti Norafizah Mohamad cukup teruja untuk tampil memulakan saingan dalam kelas CP115 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2016 yang akan membuka tirai di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Selangor pada 12 dan 13 Mac ini.
Setelah beberapa tahun beraksi dalam kelas persendirian, Pro-Am Cup, pelumba yang dikenali sebagai Fifie itu bertuah apabila dilamar pasukan BHP-Petrol Tabuan Racing untuk beraksi dalam kelas terbuka selain merupakan pelumba wanita tunggal dalam kategori tersebut.
Lebih istimewa bagi Fifie, perlumbaan minggu ini berjalan serentak dengan sambutan Hari Wanita Antarabangsa yang disambut 8 Mac setiap tahun dan mendedikasikan perlumbaan pertama kepada wanita yang paling banyak menyokong perjalanan karier selama ini, ibunya sendiri, Norwaini Hj Zuginin.
“Mama banyak berkorban untuk menyokong impian dan minat saya. Dia tidak pernah menghalang sekalipun minat saya bukanlah sukan yang sering diceburi wanita. Kerja keras mama membolehkan saya dan adik dapat berada di atas litar pada hari ini. Selepas beberapa tahun, saya semakin menghampiri impian untuk beraksi dalam kelas perdana, CP130 satu hari nanti,†jelas Fifie.
Tampil pertama kali pada usia 16 Fifie berjaya menepis tanggapan di mana sukan ini hanya layak diceburi lelaki setelah berjaya meraih pelbagai kejayaan sepanjang beraksi dalam kategori Pro-Am.
“Susah untuk meyakinkan pengurus pasukan di mana pelumba wanita juga mampu memberikan aksi terbaik sepertimana pelumba lelaki. Jika ingin beraksi sebagai pelumba persendirian dalam kategori CP115, ia melibatkan kos yang tinggi, jadi kategori Pro-Am adalah lebih sesuai.â€
Fifie telah membuktikan kerja keras selama beberapa tahun membuahkan hasil apabila berjaya meraih enam podium pada musim lepas di dalam cabaran yang tidak kurang hebatnya berbanding perlumbaan kelas utama.
Enam podium tersebut membantu Fifie untuk menamatkan saingan di tangga ketiga keseluruhan di belakang Azrulaffendi Hadi dan Md Yusof Omar sekalipun tidak beraksi dalam tiga pusingan akibat patah kaki.
“Keputusan baik yang dicapai pada tahun 2015 meyakinkan pasukan untuk mereka memilih dan meletakkan saya di dalam kelas CP115. Saya perlu bekerja lebih keras dan meletakkan harapan untuk beraksi di pentas Asia satu hari nanti.â€
“Impian saya adalah untuk mengubah minat dan kesungguhan saya terhadap motosikal kepada karier jangka masa panjang. Saya mahu membalas jasa dan pengorbanan mama saya selama ini.â€