Pusingan 9 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2025 di Stadium Negeri Pulau Pinang menyaksikan Farres Putra Md Fadhill dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING menonjol dengan prestasi cemerlang untuk menamatkan perlumbaan di tempat pertama dalam kategori WIRA KBS, manakala Md Akif Abdullah dari ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM secara rasmi dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan musim 2025 di halaman sendiri.
Sebaik perlumbaan bermula, Farres melakukan permulaan cemerlang untuk mendahului perlumbaan, diikuti rapat oleh Akif dan rakan sepasukannya, Adi Putra Anahar yang berada di tempat ketiga. Md Al-Syafiq Md Al-Amirul Zaki dari YAMAHA ESTREMO 27 RACING turut mengekalkan konsistensi dalam kelompok hadapan.
Pada pusingan kedua, Akif merekodkan masa terpantas 54.703s sambil mengekori Farres dengan jurang yang rapat, cuba mencari ruang untuk memintas. Di belakang, Nuzzul Ady Mad Sudin dari YAMAHA ESTREMO 27 RACING mula menyelit ke kedudukan ketiga, menewaskan Adi dan memberi tekanan bersama Raiyan Khardanee Md Sanusi dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING.
Memasuki pusingan keenam, Farres mencatat masa terpantas 54.339s, menunjukkan beliau bertekad untuk menguasai perlumbaan walaupun terus diasak hebat oleh Akif. Pertarungan semakin sengit apabila memasuki pusingan kelapan, kedua-dua pelumba hadapan berjaya mencipta jurang lima saat berbanding kelompok kedua yang terdiri daripada Adi, Nuzzul dan Raiyan.
Drama tercetus pada pusingan kesepuluh apabila Akif sekali lagi mencatat masa terpantas 54.264s, manakala Nuzzul terjatuh, membuka ruang untuk Adi kembali menduduki podium. Segalanya ditentukan pada pusingan terakhir apabila Akif cuba melakukan gerakan berani di selekoh terakhir untuk memintas Farres, tetapi Farres lebih pantas melepasi garisan penamat dengan catatan 10’59.256s, hanya 0.023s di hadapan Akif yang menamatkan perlumbaan di tempat kedua. Adi melengkapkan podium di kedudukan ketiga dengan 11’06.968s.
Farres berkongsi, “Segala usaha dan kerja keras akhirnya membuahkan hasil apabila berjaya muncul pemenang pada hujung minggu ini. Saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada seluruh krew dan pasukan yang sentiasa memberikan sokongan tanpa henti dari persiapan motosikal, strategi perlumbaan, hingga ke semangat yang tak pernah putus. Kemenangan ini bukan milik saya seorang, tetapi hasil usaha dan kepercayaan semua yang berada di belakang tabir. Hari ini adalah bukti bahawa tiada jalan mudah menuju kejayaan, hanya kerja keras, disiplin, dan doa yang mampu membawa kita ke puncak. Saya akan terus belajar, memperbaiki diri, dan berusaha lebih kuat untuk pusingan-pusingan yang akan datang.”
Walaupun tidak berjaya meraih kemenangan di tanah kelahiran, kegembiraan Akif tidak tergugat apabila beliau mengesahkan gelaran juara keseluruhan WIRA KBS musim 2025 dengan mengumpul 193 mata setakat sembilan pusingan, 37 mata mendahului Farres yang berada di kedudukan kedua.
Akif meluahkan perasaannya, “Saya berterima kasih kepada pasukan yang banyak membantu saya sejak tahun 2024. Dalam perlumbaan tadi, saya cuba mengekori Farres dan pada penghujungnya motosikal saya mula mengalami masalah getaran kuat di bahagian belakang, selain tekanan angin juga meningkat. Jadi, saya hanya mengekalkan konsistensi untuk menamatkan perlumbaan di atas podium. Memang saya mahu cuba memintas Farres, tetapi dengan tekanan angin yang sudah tinggi, jika saya terjatuh hanya kerana mahu memintas, ia akan merugikan saya. Jadi, saya membuat keputusan untuk kekal konsisten dan menghabiskan perlumbaan dengan selamat.”
TOP 5 FASTEST – RACE
- FARRES PUTRA MD FADHILL – PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING (10’59.256s)
- MD AKIF ABDULLAH – ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM (10’59.279s)
- ADI PUTRA ANAHAR – ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM (11’06.968s)
- RAIYAN KHARDANEE MD SANUSI – PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING (11’07.971s)
- MD DARWISH AMSYAR MD RIDZWAN – RS MEGATECH RACING TEAM (11’09.469s)

