ARASH CEMERLANG ATASI CABARAN

Pusingan 9 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2025 di Stadium Negeri Pulau Pinang menyaksikan Arash Tsunami Kamarudin dari ATAS AHM MOTOR SPORTS menonjol dengan prestasi cemerlang untuk meraih kemenangan dalam kategori CP125.

Sebaik perlumbaan bermula, Arash pantas mengambil selekoh pertama untuk mendahului, manakala Md Syamil Amsyar Md Iffende dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING mengejar rapat dari belakang. Abdullah Qayyum Abd Razak dari JETRON YAMAHA YYPANG RACING TEAM berada di kedudukan ketiga, tetapi mengalami masalah teknikal pada lap ke-3 dan terpaksa keluar daripada perlumbaan, sekali gus terlepas peluang podium. Md Farid Hakimi Farid Sezli dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING yang memulakan perlumbaan di kedudukan lebih belakang berjaya naik ke tempat ketiga, diikuti Md Idlan Haqimi Raduan dari ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM di tempat keempat, Adib Hareez Hazwat dari MAEZTRO SCK HONDA RACING TEAM di kedudukan kelima, dan Md Izam Ikmal Izamli dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING di kedudukan keenam.

Pusingan ke-7 menyaksikan Arash terus memimpin perlumbaan dengan Syamil mengejar rapat, mewujudkan jurang 3 saat di hadapan kelompok kedua. Pada pusingan ke-8, Md Aliff Danial Md Asri dari J MOTORWORKS RACING TEAM dan Md Khairi Asyraf Mahmood dari JETRON YAMAHA YYPANG RACING TEAM terjatuh, menyebabkan kedudukan kelompok kedua berubah, manakala pada pusingan ke-12, Adie Putra Sukarno dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR memintas Izam untuk naik ke kedudukan keenam sekaligus menyekat peluangnya meraih mata yang cukup untuk menjulang gelaran juara keseluruhan. Pusingan ke-13, Adie terus agresif memintas Hareez untuk menduduki tempat keempat.

Pusingan terakhir menyaksikan Syamil cuba memintas Arash, tetapi Arash kekal konsisten untuk melepasi garisan penamat sebagai pemenang dengan catatan 13’29.440s. Syamil berada di tempat kedua hanya 0.515s di belakang pada 13’29.955s, manakala Farid melengkapkan podium ketiga dengan 13’35.914s.

Farid berkongsi, “Perlumbaan tadi agak mencabar bagi saya. Syamil berada di belakang saya, saya sangkakan terdapat jurang, tetapi dia agak dekat dengan saya. Saya cuba sedaya upaya untuk kekal konsisten, tetapi saya teremosi sedikit pada pusingan terakhir, menyebabkan saya agak perlahan. Namun begitu, saya bersyukur dapat meraih tempat nombor 1 hari ini.”

Pendahulu kejuaraan, Izam menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh, yang hampir sahaja memberikan peluang kejuaraan sekiranya berada dalam kelompok enam teratas, menyaksikan perebutan gelaran CP125 dipanjangkan ke pusingan terakhir di Johor.

TOP 5 FASTEST – RACE

  1. ARASH TSUNAMI KAMARUDIN – ATAS AHM MOTOR SPORTS (13’29.440s)
  2. MD SYAMIL AMSYAR MD IFFENDE – PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING (13’29.955s)
  3. MD FARID HAKIMI FARID SEZLI – PETRONAS SPRINTA YAMAHA 31 RACING (13’35.914s)
  4. MD ADIE PUTRA SUKARNO – PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR (13’45.616s)
  5. ADIB HAREEZ HAZWAT- MAEZTRO SCK HONDA RACING TEAM (13’46.998s)