FARRES AND AKIF KEMBALI UNTUK MENERUSKAN PERSAINGAN!

Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix kini akan kembali dengan acara pembuka tirai bagi Musim 2025 pada hujung minggu ini di Litar Antarbangsa PETRONAS Sepang (Utara). Permulaan musim baharu ini juga adalah permulaan azam baharu bagi pelumba-pelumba Wira KBS yang akan menyahut cabaran yang bakal menanti.

Di antara pelumba-pelumba Wira KBS musim 2024 yang akan kembali untuk melebarkan sayap dan membaiki kekurangan adalah juara bertahan, Farres Putra dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – 31 Racing yang akan berlumba bersama-sama rakan-rakan sepasukan Raiyan Khardanee dan Md Arrfan, naib juara kategori Aeon Credit Service Yamaha 135LC Tekhne Challenge. Naib juara, Akif Abdullah dari pasukan Zynergys Honda KC Racing akan turut menyertai kategori ini bersama-sama rakan sepasukannya Adi Putra Anahar dalam misi mengejar takhta kejuaraan.

Menurut Farres, “Musim ini pastinya mencabar kerana saya akan kembali sebagai juara bertahan. Tekanan itu berbeza kerana semua akan melihat prestasi saya. Saya juga rasa lebih bertanggungjawab untuk terus konsisten dalam membuktikan kejuaraan saya. Latihan musim ini lebih berfokus kepada aspek fizikal dan mental. Saya juga banyak lakukan simulasi perlumbaan dan memperbaiki kelemahan musim lepas. Ada beberapa perubahan dalam strategi pasukan dan saya rasa ia adalah perlu untuk meningkatkan prestasi saya. Musim ini sudah pasti menyaksikan pelumba-pelumba muda yang berbakat, oleh itu, dari segi persaingan, tidak banyak berubah. Semua pelumba sudah pasti akan berikan yang terbaik. Bagi saya, cabaran utama adalah litar-litar yang berbeza yang memerlukan keserasian jentera. Saya dan pasukan akan lebih fokus untuk dapatkan pelarasan yang tepat. Misi saya adalah untuk mulakan musim ini di atas podium. Ada banyak lagi untuk dipelajari maka saya akan gunakan peluang ini untuk terus belajar.”

Akif berkata, “Misi saya untuk musim ini adalah untuk merampas kembali juara keseluruhan yang saya terlepas pada musim lepas di tangan Farres. Sebagai persediaan, kami telah melakukan “private-test” di mana kami telah mendapat keputusan-keputusan yang positif daripada data-data sebelum ini. Untuk tahun ini, saya telah menjalankan latihan kecergasan khususnya mengenai kecergasan badan dan sains sukan. Saya telah bersama rakan-rakan pelumba dari Pulau Pinang untuk membuat latihan dengan Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP). Saya agak optimis dengan kemajuan motosikal saya dan yakin ia lebih baik daripada musim lepas. Seperti biasa, pelannya adalah untuk bertarung dengan terbaik seperti yang diajar oleh pakcik saya selama ini. Matlamat saya adalah untuk menjuarai kategori ini dan mana-mana pesaing, saya akan lawan sehabis-habisan.”

Penyertaan baru bagi kategori Wira KBS bagi musim ini akan melihat aksi Md Fairil Azmi, juara 2024 bagi kategori Honda RSX One Make Challenge dan Md Al-Syafiq Amirul, juara 2024 bagi kategori Yamaha PETRONAS Super Series.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *