Setelah enam tahun mengembangkan kerjaya antarabangsa, pelumba berbakat, Danial Syahmi, akhirnya kembali ke arena perlumbaan Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix. Kali terakhir beliau beraksi dalam kategori Wira KBS pada tahun 2018, dan kini, dengan semangat yang berkobar-kobar, Danial bersedia untuk mengambil langkah lebih besar dalam kategori CP150, bersama pasukan PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR. Dengan pengalaman yang kaya di pentas antarabangsa seperti Kejuaraan CEV Moto3 dan Kejuaraan Dunia JuniorGP, kembalinya Danial pasti akan menghangatkan persaingan musim ini!
Bersama pasukan yang berpengalaman, Danial mengungkapkan rasa syukur dan teruja untuk kembali beraksi di Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix. “Alhamdulillah, saya sangat bersyukur kerana diberi peluang oleh pasukan PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR untuk kembali berlumba di Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix. Saya memang sangat teruja dan tidak sabar untuk berlumba dalam kategori CP150, terutama sekali setelah enam tahun tidak bertanding dalam Malaysian Cub Prix. Saya akan berusaha memberikan yang terbaik dan pastinya berharap untuk mencapai keputusan yang positif pada musim pertama saya kembali,” kata Danial.
Danial menyatakan, “Kali terakhir saya berlumba di Cub Prix adalah pada 2018, dan sememangnya saya menjangkakan cabaran yang jauh lebih sengit kali ini. Namun, saya rasa lebih yakin dan percaya kerana berpeluang untuk berlumba bersama pasukan yang berpengalaman seperti PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR. Dengan sokongan pasukan yang padu dan pengalaman mereka, saya yakin kami boleh memberikan saingan hebat untuk merebut gelaran juara keseluruhan.” Danial tidak menafikan bahawa saingan musim ini tidak akan mudah, namun dengan usaha gigih dan persediaan rapi, beliau percaya mereka mampu mencipta kejutan.
Walaupun tidak bertanding dalam Malaysian Cub Prix beberapa tahun terakhir, Danial tetap mengikuti perlumbaan. “Saya tetap tengok sesetengah perlumbaan. Apa saya boleh katakan persaingan sekarang semakin sengit! Setiap lap perlumbaan, para pelumba menunjukkan semangat juang yang tinggi dan berlumba untuk merebut setiap posisi terbaik. Setiap pelumba memberikan 100% tenaga dan usaha untuk meraih keputusan yang terbaik. Saya percaya persaingan ini akan menjadi lebih mencabar, dan saya tidak sabar untuk menjadi sebahagian dalam cabaran itu,” tambahnya.
Dengan pengalaman luas bertanding di luar negara, Danial menjelaskan, “Pengalaman yang saya peroleh sepanjang bertanding di JuniorGP Moto3 dan juga sebagai wildcard di perlumbaan Moto3 memberi banyak pengajaran kepada saya. Antaranya adalah cara untuk menguruskan tenaga semasa perlumbaan dan bagaimana untuk berdepan dengan situasi perlumbaan yang sangat kompetitif, terutama apabila berada dalam kumpulan pelumba yang besar. Saya juga belajar untuk lebih fokus dalam menghadapi tekanan semasa di trek. Semua pengalaman ini adalah satu kelebihan yang akan saya gunakan sepenuhnya untuk membantu saya di Kejuaraan Malaysian Cub Prix, terutamanya dalam kategori CP150.”
Ketika ditanya mengenai persiapan menuju perlumbaan, Danial berkata, “Setakat ini, tiada halangan besar yang saya hadapi dalam persiapan saya menuju ke Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix musim 2025. Saya sudah bersedia untuk memberikan yang terbaik. Tentunya, persiapan fizikal dan mental sangat penting, dan saya akan pastikan saya berada dalam keadaan terbaik untuk berlumba. Yang pasti, saya akan berusaha sebaik mungkin dan memberi saingan yang hebat di atas trek.”
Leave a Reply