“Ini adalah tahun ke-empat saya dalam saingan WIRA KBS, jika ini adalah peluang saya untuk rebut gelaran.. Saya akan buat sebaik mungkin untuk raih gelaran sulung saya” siap sedia pelumba Bad Lab Hond KC Racing untuk baki dua pusingan Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix, Md Farish Eqmal Khayrul Elyas.
Apabila sudah timbul minat di dalam diri maka semuanya akan menjadi. Bak kata orang sekali jatuh cinta selama-lamanya kita akan jatuh cinta.
Begitu juga segelintir pelumba-pelumba tempatan yang mula menceburi sukan permotoran walaupun mengenali risikonya demi merealisasikan keinginan mereka untuk sesekali menjejak kaki di litar perlumbaan sebenar. Mereka bukan hanya sekadar berlumba tetapi mengenali dan menimba ilmu yang sewajarnya untuk digelar sebagai pelumba profesional. Perjalanan itu bukan mudah!
Begitu juga buat Farish Eqmal yang meminati sukan ekstrem sejak kecil lagi dan keinginan untuk merasa kelajuan membuat pelumba itu menjejaki sukan berprestij kebangsaan jentera dua roda itu.
“Saya mula berkecimpung dalam sukan permotoran sejak umur 12 lagi. Saya sangat berminat sukan permotoran ini selepas mula menonton MotoGP di televisyen. Apabila saya beritahu keluarga yang saya ingin mula perlumbaan secara profesional, mereka tidak membantah malah sangat mendorong sehingga sekarang.
“Perjalanan saya mula dari saingan Mini Cub Prix anjuran KBS dan berjaya menamatkan saingan di kedudukan ketiga keseluruhan. Tahun seterusnya, saya dapat berlumba di Honda One Make Race di mana saya mengakhiri saingannya di tempat kelima dan saya turut berjaya menarik perhatian pasukan industri untuk tarik saya beraksi di kelas WIRA KBS..
“Di situlah mulanya perjalanan saya dalam kelas yang mempunyai ramai pelumba yang berpengalaman, hebat dan juga muda. Saya boleh katakan perkembangan saya dalam kategori ini adalah secara berperingkat sejak tahun 2020. Empat tahun itu satu tempoh yang lama, bagi seorang pelumba tetapi saya tidak menyesal sebab dalam tempoh ini banyak perkara saya belajar mengenai perlumbaan. Bukan sahaja cara mengendali jentera di atas litar tetapi juga di luar litar.
“Mungkin rezeki saya lambat tetapi seperti orang kata rezeki tidak akan salah Alamat, kini saya sedang beraksi untuk meraih gelaran sulung sepanjang karier saya sebagai seorang pelumba profesional,” katanya dengan penuh keterujaan.
Gelaran sulung bagi seseorang pelumba itu sangat bermakna dan cukup berharga. Tidak kisah beraksi di kategori mana atau mengambil tempoh yang singkat atau lama, ia tetap satu momen yang tidak boleh dilupakan. Farish Eqmal masih menanti untuk merealisasikan momen tersebut.
Kelas WIRA KBS ini adalah satu saingan yang agak menarik. Digelar sebagai lubuk bakat di situlah terhasil ramai pelumba tempatan yang kini melakar nama di persada dunia. Ini juga merupakan medan pendedahan yang terbaik untuk menimba ilmu sebanyak mungkin.
Jika melihat dua edisi lalu, pasukan Petronas Sprinta Yamaha – 31 Racing mendominasi kelas WIRA KBS ini dengan menampilkan barisan pelumba yang cukup berbakat. Namun kehadiran beberapa pasukan baharu sedikit menggugat kedudukan tetapi dominasi mereka masih tidak dapat digoyang lagi.
Salah seorangnya adalah Farish dari pasukan Bad Lab Honda KC Racing.
“Jika melihat kedudukan semasa juara mata antara saya dengan Amirun tidak banyak berbeza tetapi ada lagi baki 2 pusingan.. Apa-apa sahaja boleh berlaku. Kalau kita lihat Sejarah pasukan 31 Racing, mereka mempunyai satu reputasi yang bagus dalam kelas WIRA ini. Jadi, satu kombinasi yang hebat memberi cabaran yang kuat kepada saya.
“Tetapi seperti saya katakana tadi, Ini adalah perlumbaan dan apa sahaja boleh berlaku. Nak kejar gelaran itu tidak mustahil cuma saya perlu mengelak dari melakukan sebarang kesilapan dan melintas garis penamat itu dengan kemenangan di tangan. Paling mustahak habiskan perlumbaan dengan selamat. Saya positif dengan prestasi setakat, Kita tengok lah nanti apa keputusan dalam dua pusingan akan datang…
“Saya juga harap ini akan menjadi titik permulaan bagi saya untuk berentap ke kategori lebih tinggi dengan menarik perhatian pasukan industri. Apapun saya akan cuba yang terbaik di Tangkak minggu ini.”
Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com
Ikuti kami di Facebook