fbpx

“DAHULU PENYOKONG SETIA, KINI BERAKSI BERSAMA” – AHMAD SYAMIL IKMAL, PRO-AM CUP

Setiap pelumba yang mula berkecimpung dalam dunia sukan permotoran, masing-masing mempunyai jalan cerita tersendiri timbulnya minat terhadap sukan jentera dua roda ini. Adanya inspirasi di sebalik kehidupannya yang membuatkan mereka mencuba sukan yang cukup mencabar.

Bagi pelumba kelas PETRONAS Sprinta Pro-Am Cup yang kini bersaing pada Kejuaaran Malayian Cub prix edisi ke-30, Ahmad Syamil Ikmal, turut adanya seorang insan yang memetik jiwa muda itu untuk mencubanya seperti omputih kata ‘give a shot’, malah percubaannya tidak sia-sia apabila pelumba berusia 19 itu melebarkan sayapnya di saingan yang cukup berprestij itu.

“Saya mula berkecimpung dalam sukan permotoran sejak umur saya 10 tahun. Dari menjadi  penyokong setia kepada abang saudara saya iaitu Arash Firdaus yang kini beraksi bersama saya dalam saingan Pro-Am. Pada awalnya, saya hanya datang untuk menyokong Arash, tetapi lama-lama saya pun terjatuh cinta dengan deruman dua roda dan juga kelajuan jentera. Setiap kali saya tengok Arash beraksi di setiap Turn, saya akan fikir boleh ke saya pun menunggang seperti dia… persoalan itulah permulaan kepada segalanya.

“Jadi, bila ada abang saudara sendiri dalam sukan permotoran saya tidak terima apa-apa bantahan dari keluarga terutamanya ibu bapa bila saya beritahu mereka minat saya. Mereka sangat menyokong dari hari pertama sehinggalah hari ini. Sudah tentu kerisauan itu ada sebab sukan permotoran ini sukan yang berisiko tinggi, tetapi mereka tidak pernah menghalang minat saya. Terima kasih juga kepada Arash sebab dia muncul selaku penanda aras dan menjadi contoh kepada saya. Pada masa yang sama, dia juga membuktikan sukan permotoan ini ada hala tujunya.”

Pelumba kelahiran Selangor itu, menjejaki dunia permotoran secara profesional dengan beraksi di kategori Honda One Make Challenge selama 2 tahun di mana berjaya menduduki tempat ke-5 pada tahun pertama dan berjaya menebusi tangga kedua carta perlumbaan pada tahun seterusnya sebelum beralih ke kelas WIRA KBS. Selepas beraksi di kategori WIRA KBS selama dua tahun bersama Vfier Tech Academy, Syamil memutuskan untuk beralih ke kelas PRO-AM dan meneruskannya sehingga sekarang.

“Saya telah mencuba beberapa kelas dan sebelum ke Pro-Am. Pengalaman yang sangat berharga buat saya sebab pengalaman itu yang membantu saya hari ini untuk beraksi dengan lebih baik. Setiap kategori mempunyai cabaran masing-masing. Takde yang kurang menarik dan semuanya memiliki keistimewaan tersendiri.

“Menang kalah adalah adat perlawanan tetapi kedua-duanya mengajar sesuatu. Jadi saya belajar dari setiap situasi dan cuba memperbaiki diri saya pada setiap pusingan. Saingan di pro-Am ini agak berbeza dari kelas wira sebab spek jentera semua sama. Yang hanya membezakan adalah kehandalan pelumba untuk mengendali jentera di atas litar. Bagi saya, ini satu aspek yang menarik.”

Membuka lembaran baharu di musim 2023, Syamil memulakan dengan langkah kanan apabila berjaya menjejaki podium di pusingan pertama dan  disusuli dua lagi kemenangan berturut-turut mnyusuli sebelum ‘DNF’ di pusingan ke-empat. Namun, ia tidak langsung mengurangkan semangatnya, Syamil bangkit kembali pada pusingan seterusnya.

Kini berada 6 mata dibelakang abang saudaranya, Syamil menduduki tangga kedua carta perlumbaan dengan 101 mata.

“Apa yang saya boleh katakana, saya cuba bersaing dengan sihat. Arash sudah tentunya pencabar utama saya tetapi sebelum itu dia adalah sifu saya. Dialah inspirasinya dan dialah menjadi pencetus minat terhadap sukan permotoran ini. Dia tidak pernah kedekut ilmu. Sentiasa berkongsi tips dan mendorong di luar litar. Arash memiliki kelebihan dia sendiri ketika beraksi. Dia ada auranya tersendiri.

“Saya tidak pernah tercabar dengan kebolehannya tetapi saya sentiasa kagum dengannya. Banyak saya belajar daripada Arash. Jadi, ia adalah satu saingan yang sihat. Saya sentiasa lakukan terbaik untuk diri saya dan selainnya saya serah pada Allah.

“Memang jurang mata antara kami dua agak tipis tetapi saya tidak mahu meletakkan tekanan pada diri saya dengan memikir meraih gelaran. Impian itu memang ada dan saya meletakkan usaha serratus peratus di setiap perlumbaan untuk berada di hadapan. Kalau ada rezeki untuk merangkul gelaran musim ini, Alhamdulilah, kalau tidak saya akan tetap mencuba musim hadapan.

“Pada masa yang sama, saya berharap prestasi kali ini dapat menarik perhatian pasukan industri agar saya dapat beraksi di kelas lain pada musim hadapan. Saya ada juga dapat offer dari pasukan WIRA… Kita tengok lah bagaimana.. Ada lagi dua pusingan.. saya akan cuba yang terbaik.. yang paling mustahak tawaran pasukan industri untuk musim depan. Demi peluang itu, saya akan cuba yang terbaik,” jelas Syamil.

Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com

Ikuti kami di Facebook