“Tahun pertama di kategori Wira KBS, saya masih lagi belajar menyesuaikan diri dengan pengendalian jentera, menimba pengalaman, dan kini tahun kedua, saya mengaplikasikan apa yang saya belajar” kata pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha – 31 Racing, Amirun Haziq Johan yang gah mendahului carta WIRA KBS selepas lapan pusingan.
Amirun yang kini bersaing dalam kategori lubuk bakat Kejuaraan Malaysian Cub Prix mula meminati sukan permotoran selepas melihat kecemerlangan abang tirinya yang juga jaguh sukan dua roda negara, Hafizh Syahrin, yang pernah memahat nama negara di persada dunia dengan beberapa pencapaian yang dibanggakan.
Berkecimpung dalam sukan permotoran se-awal umur 12 tahun dan menjejaki dunia permotoran secara profesional menerusi saingan SIC MiniGP sebelum beralih ke kategori Yamaha Super Series pada tahun berikutnya, menunjukkan perkembangan yang berperingkat dan positif pelumba tersebut.
Pada tahun debutnya dalam kelas WIRA KBS, walaupun menghadapi isu teknikal dan tidak berjaya mengakhiri perlumbaan pada tiga pusingan berturut-turut, Amirun tetap berjaya menempatkan diri di kelompok 10 teratas. Prestasinya tetap memberangsagkan. Apatah lagi beraksi bersama pasukan yang muncul juara keseluruhan musim lalu. Peningkatan bukan sahaja dalam cara mengendali jentera malah aspek mental dan kematangan juga agak jelas dalam diri pelumba kelahiran ibu kota itu.
“Musim lepas kalau tanya pendapat saya, dari segi keputusan hanya memuaskan. Sebab saya hanya dapat mengakhiri musim di kedudukan ke-6 tetapi kalau tengok prestasi memang sangat improve.. Apabila saya mulakan musim ini, saya lebih konfiden mengendali jentera berbanding musim disebabkan pengalamannya. Banyak lagi perkara yang saya harus belajar dan juga perlu cepat menyesuaikan diri dengan segala cabaran supaya saya dapat mencapai impian saya.
“Walaupun saya tengah mendahului carta buat masa ini, banyak aspek saya perlu perbaiki lagi. Jika saya mahu lebih ke depan, saya kena sentiasa cuba menambahkan ilmu dan baiki kelemahan saya dari masa ke semasa. Kalau kita lihat musim ini, ada banyak pelumba baharu dan pasukan baru, semua hebat-hebat belaka. Ada yang muka baru tetapi mereka tetap perform. Buat masa ini, pelumba dari ESTREMO dan BAD LAB adalah pesaing utama.
“Jurang mata antara saya dengan Farish juga tidaklah jauh beza sangat. Jadi saingan kali ini memang agak mencabar . Saya sedikit ketinggalan disebabkan kehilangan mata di pusingan ke-enam selepas ‘ DNF’. Perkara itu adalah sesuatu yang biasa dalam satu-satu perlumbaan sebab kita tidak boleh jangka apa yang akan berlaku ketika berada di atas litar. Apa pun saya akan sentiasa cuba yang terbaik dan beri serratus peratus dalam setiap perlumbaan,” jelas Amirun.
Musim ini menyaksikan, Amirun menaiki podium sebanyak kali dari lapan pusingan yang telah berlalu dan kini berada di kedudukan pertama carta pelumbaan dengan memungut 134 mata dengan perbezaan empat mata di hadapan pesaing utama, Md Farish Eqmal Khayrul Elyas.
“Perjalanan untuk meraih gelaran itu bukan mudah. Walaupun saya sudah berada di hadapan tetapi mata yang saya memiliki menunjukkan saya tidak boleh selesa buat masa ini. Jadi, ketika ini, saya tidak terlalu fikir tentang gelaran. Berbaki lagi dua pusingan, misi utama saya perlu mengutip mata semaksimum mungkin untuk mengukuhkan lagi kedudukan. Saya lebih fokus terhadap firness dan mental saya.
“Next, di Tangkak. Dua pusingan lalu saya berjaya berada di podium dan saya harap dapat meneruskan lagi momentum itu di Litar Tangkak…
“Sebenarnya prestasi ini sesuatu yang saya tidak jangka. Saya sentiasa akan beri seratus peratus dalam apa jua perkara yang saya menceburi. Orang kata ‘hardwork pay off’.. Pada masa yang sama ketentuan Allah juga.. alhamdulilah kebanyakan pusingan saya dapat mengakhiri dengan selamat. Jadi, dua pusingan terakhir ini juga saya mengharapkan yang sama. Saya harapkan kami semua menamatkan perlumbaan dengan selamat. Insyallah.
“Kalau saya berjaya meraih gelaran.. Alhamdulilah. Ia bukan hanya kemenangan bagi diri saya tetapi juga kepada pasukan di belakang saya yang bertungkus lumus menyediakan jentera yang terbaik dan sentiasa memberi sokongan moral. Insyallah musim depan, saya mengharapkan yang lebih baik.”
Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com
Ikuti kami di Facebook