fbpx

CUKUPLAH 12 TAHUN

Tengku Amirul dan YYPang berpisah

Pelumba CP150, Tengku Amirul Haffirudin telah mengambil Keputusan yang mengejut apabila beliau menamatkan kerjasama bersama Jetron Yamaha YYPang Racing Team dan berhijrah ke pasukan SCK Honda Racing Team bermulanya musim 2024.

Namun keputusan menamatkan kerjasama selama 12 tahun itu bukan dibuat dalam tempoh satu malam atau terburu-buru, tetapi sejak dua tahun lalu Tengku Amirul telah membuat pertimbangan secara menyeluruh termasuk keinginannya untuk kembali menuju kecemerlangan.

Melalui perkongsian di laman media sosial yang menampakkan Tengku Amirul mengalirkan air mata semasa dalam majlis perpisahan dengan pasukan Jetron Yamaha YYPang Racing Team cukup untuk menjelaskan bahawa ianya bukan satu keputusan yang mudah dibuat oleh Tengku Amirul, namun demi kemajuan dan objektif maisng-masing, perpisahan itu tidak dapat dielakkan.

Kata Tengku Amirul, “Saya berasa sangat berat hati untuk tinggalkan pasukan YYPang kerana banyak kenangan suka dan duka bersama mereka. Sifu juga adalah mentor yang banyak memberikan saya tunjuk ajar sejak saya menyertai Cub Prix buat sulung kali. Dan dia jugalah yang paling banyak mengorbankan masanya untuk saya. Contohnya menjemput saya di perhentian bas jam 5 pagi.”

Tengku Amirul merupakan antara pelumba yang meningkat naik ketika dinobatkan juara keseluruhan CP115 edisi 2018 sebelum dinaikkan pangkat untuk sertai CP150 pada 2019.

Sejak penyertaan di kategori CP150 pada 2019, Tengku Amirul telah meraih satu kemenangan iaitu di Pusingan 6 pada tahun 2019 yang berlangsung di Teluk Intan, Perak.

Ini juga kali pertama Tengku Amirul beralih jentera ke Honda setelah 14 tahun mengendali jentera Yamaha di mana ini bakal memperlihatkan kemampuannya menyesuaikan diri dengan jentera baharu dalam masa secepat mungkin untuk menghadapi saingan Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2024.

“Target saya pada tahun 2024 dengan jentera baharu Honda yang saya bawa buat kali pertama adalah untuk memberikan Saingan yang bagus kepada pelumba-pelumba lain dan kalau ada rezeki saya akan berikan yang terbaik untuk berada di atas podium. Buat masa ini dengan jentera Honda, saya masih rasa agak janggal dan agak tinggi sedikit bila bawa motor Honda. Dari segi tunggangan, posisi badan, ‘breaking point’ semuanya adalah berbeza. Jadi, saya perlu cepat belajar untuk maju ke hadapan”.

Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com

Ikuti kami di Facebook