Md Akid Aziz dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing mencatat nama sebagai pemenang kategori CP150 di pusingan Ketiga Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix yang berlangsung di Bandar Jasin Bestari pada petang tadi manakala rakan sepasukan, Ahmad Afif Amran pula berjaya menamatkan pelumbaan di tempat kedua sekaligus melengkapkan kemenangan 1-2.
Di sesi “Super Pole” yang berlangsung tengah hari tadi, Md Akid Aziz dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing mencatatkan masa terpantas pada 49’655s. Walaupun kedudukan pertama di grid memberikan beliau kelebihan untuk beraksi dengan lebih yakin, kategori CP1250 yang agak kompetitif lebih memerlukan kemahiran teknikal. Kedudukan kedua diambil oleh Md Iqbal Amri dari pasukan GIVI Tekhne Yamaha dengan catatan masa 49’666s dan diikuti oleh Md Helmi Azman dari pasukan SCK Honda Racing Team dengan catatan masa 49’697s.
Sejurus bermulanya perlumbaan, Akid memecut ke depan dan mengambil kedudukan P1. Beliau kelihatan yakin dengan jentera walaupun di berikan tekanan oleh Iqbal di P2. Menjelang lap ketiga, Afif yang berada di kedudukan keempat berjaya ke P2 diikuti oleh Azroy di P3. Pada ketika itu, Kasma yang memulakan perlumbaan di kedudukan P6 mula memberikan tekanan kepada Iqbal dan di lap ketujuh, Kasma berjaya mengambil kedudukan P4.
Di hadapan, kedudukan Akid tidak mungkin tergugat. Dengan setiap lap, beliau telah membuka jurang yang besar diantara Afif. Azroy pula semakin dicabar oleh Kasma yang cuba merampas kedudukannya. Dengan berbaki 6 lap lagi, percubaan Kasma membuahkan hasil apabila beliau memintas Azroy dari dalam di selekoh akhir. Perlumbaan tersebut berterusan dengan Akid teguh di kedudukan P1. Walaupun Afif cuba menutup jurang, Akid kelihatan yakin dengan momentumnya di hadapan. Berbaki tiga lap, Kasma cuba meningkatkan kelajuan untuk menutup jurang di antara Afif tetapi tidak berjaya.
Perlumbaan 20-lap tersebut berakhir dengan Md Akid Aziz dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing di tempat pertama dengan catatan masa 16’27:295s.
Menurut Akid, “Saya agak senang hati dengan pencapaian pada hari ini. Jentera saya dalam keadaan yang bagus kerana pasukan kami telah berusaha untuk mencari “setup” yang baik. Sepanjang hujung minggu ini, saya telah cuba untuk mempertingkatkan prestasi dengan masa lap yang lebih baik. Walaupun kita ada kekurangan, kami masih berjaya di tempat teratas.”
Rakan sepasukannya, Ahmad Afif Amran menamatkan perlumbaannya di tempat kedua dengan catatan masa 16’29:146s.
Kasma Daniel Kasmayuddin dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor menamatkan perlumbaan di tempat ketiga dengan catatan masa 16’34:369s.
Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com
Ikuti kami di Facebook