fbpx

BOON SIEW HONDA LANCAR CB1000R DAN CB250R


Boon Siew Honda (BSH) telah melancarkan dua model Neo Sports Café iaitu CB1000R dan CB250R yang bakal berada di pasaran mulai bulan depan pada harga RM74,999 untuk CB1000R dan CB250R dengan harga RM22,999 dengan jaminan dua tahun atau 20,000 kilometer (km) yang mana lebih dulu.

Bagi model CB1000R yang membuat kemunculan pertamanya di negara ini di acara Malaysia Autoshow pada bulan April lalu, ia dikuasakan dengan enjin 998cc sejukan cecair DOHC empat silinder dengan kuasa 145PS pada 7,500 rpm dan daya kilas 104Nm pada 8,250 rpm.

Ciri lain yang terdapat pada model ini ialah lampu hadapan, belakang dan nyalaan siang (DRL) LED, fork hadapan boleh laras Showa, brek cakera dengan ABS dua saluran dengan cakera 310mm di depan dan 256mm. dan tangki bahan api 16.2 liter.

Model ini juga dilengkapi dengan sistem Honda Selectable Torque Control (HSTC) dan empat mod tunggangan iaitu Standard, Sport, Rain dan User.

CB1000R didatangkan dengan dua pilihan warna iaitu Hitam Graphite dan Merah Chromosphere Candy.

Bagi model terbaru dalam model ‘sport naked’ Honda, CB250R ia dipadankan dengan enjin 250cc sejukan cecair DOHC silinder tunggal yang mampu menjana kuasa 28PS pada 9,000 rpm dan daya kilas 23.3Nm pada 8,000 rpm.

Ciri menarik lain yang terdapat pada jentera ini adalah bar hendal besi dengan cagak getah, paparan instrumen LCD untuk maklumat perjalanan dan motosikal dan lampu LED di depan dan belakang.

Dengan berat sekitar 145 kilogram (kg), motosikal ini pasti mudah dikawal terutama dalam kawasan bandar.

CB250R didatangkan dengan tiga pilihan warna iaitu Perak Bullet Matt, Hitam Graphite dan Merah Chromosphere Candy.

Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Keiichi Yasuda, menjelaskan pengenalan model Neo Sports Cafe itu seiring dengan peningkatan permintaan terhadap segmen motosikal jalanan berkuasa tinggi di Malaysia.