fbpx

AZROY MENYAMBAR TEMPAT KEDUA SECARA KESELURUHAN


AZROY MENYAMBAR TEMPAT KEDUA SECARA KESELURUHAN

Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix musim ke-29 telah sampai ke penghujung dengan perlumbaan akhir bagi Pusingan Kesepuluh yang berlangsung di litar Stadium Batu Kawan. Md Akid Aziz dari pasukan ONEXOX TKKR Racing Team menyambar kemenangan pada petang ini.

Walaupun Juara Keseluruhan dinobatkan kepada Ahmad Afif Amran dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing pada akhir pusingan kesembilan, namun pelumba-pelumba CP150 tidak berdalih dalam memberikan persembahan terbaik dan menunaikan matlamat pasukan mereka sebelum tutupnya tirai bagi musim ini.

Dalam perebutan tempat kedua secara keseluruhan, Azroy tampak hebat di litar dalam memberikan saingan kepada Akid yang mendahului kelompok pelumba-pelumba CP150. Kasma yang berada di P2 pada ketika itu kelihatan agak yakin dengan kedudukannya tetapi pada akhir lap ketiga, Azroy berjaya mencuri peluang untuk memintas Kasma.

Sepanjang perlumbaan bagi lap-lap seterusnya, Azroy telah mempamerkan kemahiran teknikalnya yang mantap di litar. Beliau terus memberikan tekanan kepada Akid dari belakang. Kasma yang pada ketika itu berada di P3 meneruskan percubaannya untuk menutup jurang di antaranya dengan Azroy tetapi misi tersebut tidak kesampaian.

Pada selekoh terakhir, Akid meningkatkan kelajuan jenteranya dan berjaya menamatkan perlumbaan di tempat pertama dengan catatan masa 17’10:908s.

Di tempat kedua, Azroy Hakeem Anuar dari pasukan Honda Yuzy Idemitsu Team mencatatkan masa 17’12:961s.

Kasma Daniel Kasmayudin dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor mengambil tempat ketiga dengan catatan masa 17’16:427s.

Namun begitu, keputusan perlumbaan CP150 yang awalnya dimenangi oleh Akid Aziz terpaksa dibatalkan atas isu teknikal selepas perlumbaan.

Bagi kategori CP125 pula, Md Syafiq Rosli dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor mendapat tempat pertama bagi pusingan kesepuluh, Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix.

Di selekoh pertama, sejurus selepas bendera dikibarkan, Khairi memecut ke P1 dengan Haziq dan Shafiq di P2 and P3. Pada akhir lap kedua, Shafiq berjaya memintas duo di hadapannya dan mengambil kedudukan P1. Haziq pula mara ke P2 dan pada akhir lap ketiga, beliau berjaya memintas Shafiq dan mengambil alih kedudukan P1.

Selama tujuh lap, Haziq mengukuhkan kedudukannya di P1 sementara kedudukan P2 pula di kuasai oleh Shafiq dari akhir lap keempat sehingga ke akhir lap keenam. Syafiq yang berada di P3 pada akhir lap keenam berjaya mencari jalan untuk memintas Shafiq di lap ketujuh dan mengambil kedudukan P2 untuk dua lap seterusnya.

Di akhir lap kesembilan, Syafiq yang memberikan tekanan kepada Haziq berjaya memintasnya. Perlumbaan bertambah sengit di antara pelumba-pelumba CP125, masing-masing berebut untuk kedudukan yang lebih baik. Namun begitu, Syafiq kekal mantap sepanjang lap seterusnya. Beliau meneruskan perlumbaan dan sedikit demi sedikit meningkatkan kelajuan jenteranya.

Dengan dua lap lagi, Syafiq jauh meninggalkan kelompok pelumba di belakangnya. Pada ketika itu, Shafiq berada di P2 manakala Haziq berada di P3. Di selekoh terakhir, Haziq hampir menamatkan perlumbaannya di P2 tetapi beliau melakukan sedikit kesilapan sekaligus dipintas oleh Shafiq. Kesilapan Haziq memberikan peluang untuk Hafiza mengambil kedudukan P3.

Syafiq menamatkan perlumbaannya di tempat pertama dengan catatan masa 13’42:962s.

Menurut Syafiq, “Perlumbaan tadi sememangnya sengit tetapi saya agak yakin dengan keadaan jentera saya. Saya juga biasa dengan litar ini dan merupakan salah satu litar kegemaran saya. Walaupun bagi saya, litar ini tidaklah begitu susah berbanding dengan litar Terengganu, tetapi cabaran di sini memberikan saya semangat untuk buat yang terbaik.”

“Strategi saya adalah untuk mengekori pelumba-pelumba di hadapan saya sehingga saya mendapat peluang untuk mengorak langkah ke depan. Saya amat berterima kasih kepada pasukan saya dan rakan-rakan saya untuk tahun ini.”

Di tempat kedua dan ketiga, duo sepasukan Md Shafiq Rasol dan Md Hafiza Rofa dari pasukan ONEXOX TKKR Racing Team mencatatkan masa 13’47:368s dan 13’47:513s masing-masing.

Sementara itu, bagi kategori Wira KBS, Md Syamil Amysar Md Iffende dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – 31 Racing mendapat tempat pertama di pusingan kesepuluh, Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix.

Sejurus bermulanya perlumbaan, Syamil terus memecut ke P1 dan menguasai litar Stadium Batu Kawan dengan kepakaran dan teknik yang hebat. Pada akhir lap ketiga, Syamil telah memperkukuhkan lagi kedudukannya apabila beliau meningkatkan kelajuan dan jarak di antaranya dengan pelumba di P2 iaitu rakan sepasukannya, Adam dan di P3, Farish.

Pada pertengahan perlumbaan, jarak di antara Syamil dengan pelumba di P2 menjadi semakin luas. Namun begitu, Adam yang berada di P2 pada ketika itu akhirnya di pintas oleh Farish yang memberikan saingan yang hebat. Pada lap-lap seterusnya, Syamil meneruskan perlumbaan secara konsisten.

Syamil berjaya menggunakan strategi yang berkesan untuk mempertahankan kedudukannya di P1 sepanjang perlumbaan. Di belakangnya, Farish pula diberi tekanan oleh Adam yang mencari peluang untuk memintas. Namun begitu, Farish tidak mengalah. Usaha Farish untuk mengekalkan kedudukannya akhirnya membuahkan hasil apabila beliau menamatkan perlumbaannya di tempat kedua.

Syamil menamatkan perlumbaan 12-lap tersebut di tempat pertama dengan catatan masa 11’08:161s. Sepanjang hujung minggu ini, beliau telah mempamerkan semangat yang kukuh dalam persembahannya dan telah tampil dengan aksi yang hebat pada perlumbaan akhir.

Menurut Syamil, “Saya agak yakin dengan keadaan litar ini dan “setup” jentera saya memang bagus untuk mencapai pencapaian hari ini. Strategi saya adalah untuk mendapatkan posisi yang bagus pada awal perlumbaan lagi dan untuk terus meningkatkan kelajuan jentera saya pada setiap lap. Saya cuba dengan sedaya upaya untuk tidak melakukan sebarang kesilapan dan akhirnya berjaya mendapat tempat pertama. Saya berterima kasih kepada pasukan saya yang telah banyak membantu saya dalam pencapaian saya pada tahun ini.”

Di tempat kedua, Md Farish Izmal Khayrul Elyas dari pasukan Honda KC Racing mencatatkan masa 11’10:287s.

Md Adam Haikal Jahar dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – 31 Racing yang juga merupakan Juara Keseluruhan bagi musim ke-29 mendapat tempat ketiga dengan catatan masa 11’10:324s.

Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com

Ikuti kami di Facebook

, , ,