Pusingan kelima, Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix telah berlangsung hari ini di Litar Permotoran Terengganu. Azroy Hakeem Anuar dari pasukan Honda Yuzy Estremo Racing meraih kemenangan pertama bagi musim ini bagi kategori CP150.
Di sesi “Super Pole” yang telah berlangsung pada sebelah pagi, Afif dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing berjaya mencatatkan masa terpantas pada 48’508s diikuti oleh Azroy dari pasukan Honda Yuzy Estremo Team dengan catatan masa 48’616s dan Kasma dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor dengan catatan masa 48’794s.
Bermula perlumbaan pada petang ini, Afif memecut ke P1 untuk seketika sebelum Azroy di belakangnya memintas. Di P3, Kasma tampak yakin dengan momentumnya. Di P4, Akid mengikuti Kasma sambil mencari peluang untuk memintas. Jurang di antara empat pelumba di hadapan dan kelompok di belakang menjadi semakin besar dengan Helmi di P5 sebelum di pintas oleh Nazirul. Di P1, Azroy kekal fokus dalam mempertahankan kedudukannya walaupun Afif memberikan tekanan.
Berbaki 10 lap, kedudukan di kelompok hadapan masih tidak berubah tetapi di kelompok belakang, Haziq mula memberikan tekanan kepada Helmi. Di lap kesebelas, Kasma mula menghadapi masalah dengan jentera dan tidak dapat meneruskan perlumbaan. Ini memberikan kelebihan bagi Akid yang pada ketika itu mengambil alih kedudukan di P3. Dalam pada itu, Helmi berjaya memintas Nazirul dan mula mengejar perlumba di hadapannya tetapi selepas beberapa lap, Nazirul kembali ke P4.
Persaingan bertambah sengit di antara Azroy dan Afif tetapi Azroy mantap mempertahankan kedudukannya. Akid di P3 ketinggalan di belakang. Di lap terakhir, Afif cuba dengan sedaya upaya untuk memintas Azroy tetapi Azroy berjaya mempertahankan kedudukannya di P1 dari permulaan sampailah ke garisan penamat dengan catatan masa 16’23:204s.
Menurut Azroy, “Perlumbaan yang sangat sengit. Tetapi akhirnya, dapat juga menang setelah sekian lama. Semasa berlumba tadi, saya memang “push” dari lap pertama sampai ke akhir. Mula-mula ada empat pelumba dikelompok hadapan dan kemudian kurang seorang. Bila saya pandang ke belakang lepas beberapa lap, hanya Afif di belakang saya. Saya pun tidak pasti apa yang berlaku kepada pelumba-pelumba di kedudukan tiga dan empat. Pada lima lap terakhir tadi, saya fikir nak bagi Afif peluang ke P1 tetapi Afif pun tidak mengambil kesempatan maka saya kekalkan kelajuan sampailah ke lap terakhir. Di selekoh terakhir, memang ada ruang untuk memintas tetapi dia tidak memintas lalu saya memecut ke garisan penamat. Memang saya amat terharu dengan kemenangan hari ini.”
Ahmad Afif Amran dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing mendapat tempat kedua dengan catatan masa 16’23:500s.
Rakan sepasukan, Md Akid Aziz mengambil tempat ketiga dengan catatan masa 16’28:023s.
Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com
Ikuti kami di Facebook

