fbpx

AQIL DANIAL JUARA WIRA KBS

PETRONAS Sprinta Yamaha-31 Racing bergelar Juara Wira KBS buat kali ketiga berturut-turut melalui kemenangan Aqil Danial

Buat kali ketiga berturut-turut, pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha-31 Racing berjaya menggalas gelaran Juara Wira KBS.

Buruan takhta kategori bawah-17 yang berlarutan sehingga ke pusingan penutup tirai itu menyaksikan perbalahan hebat antara pelumba pasukan, Mohd Aqil Danial Nasrul serta Mohd Harith Haziq Zamri dari pasukan Castrol Power1 Honda Team.

Pada permulaan perlumbaan terakhir musim 2021, tiga pelumba masih berpeluang untuk meragut gelaran Juara. Mohd Irfan Haykhal Amidi yang mencatat kemenangan di Pusingan 9 mendahului dengan 125 mata. Mohd Aqil Danial Nasrul yang begitu konsisten pada permulaan musim ini berada di tangga kedua dengan 123 mata. Mohd Harith Haziq Zamri pula berada di tangga ke-3 dengan 115 mata. Dengan jurang mata yang begitu minima, pemenang Pusingan 10 akan disahkan sebagai Juara kategori Wira KBS musim 2021.

Strategi serangan berpasukan PETRONAS Sprinta Yamaha-31 Racing nyata menjadi. Sepanjang perlumbaan 7 lap itu, Harith Haziq dikepung rapat tiga pelumba 31 Racing. Meskipun jentera Honda dinampakkan mempunyai kelebihan di selekoh, namun kelajuan jentera-jentera Yamaha di laluan lurus sukar digugat.

Pada akhir perlumbaan, kemenangan terakhir musim 2021 dimenangi oleh Mohd Aqil Danial Nasrul dengan catatan masa 10’03.201s. Kemenangan ini menganugerahkan gelaran Juara Wira KBS 2021 kepada Aqil.

“Perlumbaan tadi memang sengit. Saya cuba sedaya upaya untuk mengikuti strategi yang telah dicatur oleh pasukan kami dan berasa amat bersyukur dengan kemenangan ini,” kata Aqil yang menjuarai kategori Wira KBS dengan 148 mata.

Mohd Irfan Haykhal Amidi dari pasukan Moto1 Koyoko Honda KC Racing menamatkan musim 2021 di tangga ke-2 keseluruhan dengan 133 mata kejuaraan setelah mencatat keputusan ke-lapan dalam perlumbaan.

Mohd Harith Haziq terpaksa akur di tempat-ke3 dengan 10’03.342s dan menamatkan kempen Wira KBS di tangga ke-3 dengan 131 mata.

 

Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com

Ikuti kami di Facebook