Alif Imran Ahmad Husni akan terus berjuang bagi membuktikan kemampuan beliau sebagai seorang pelumba yang berpotensi untuk melangkah ke peringkat seterusnya dalam saingan PETRONAS Sprinta Pro-Am Cup.
Anak kelahiran Johor yang dinobatkan sebagai Juara Honda Dash 125 Challenge musim lalu ini terpaksa melalui jalan yang agak berbeza berbanding juara-juara kategori satu pengeluar yang lain. Kebiasaannya pelumba dari kategori satu pengeluar akan diserap ke pasukan yang bersaing dalam kategori Wira KBS, namun berbeza bagi Alif disebabkan faktor umur.
Pelumba berusia 18 tahun ini memanfaatkan peluang untuk bersaing dalam kategori PETRONAS Sprinta Pro-Am Cup yang ditaja oleh PETRONAS bagi meneruskan minat dan cita-cita beliau dalam sukan permotoran ini.
“Alhamdulillah, PETRONAS membantu saya untuk meneruskan karier saya dalam kategori PETRONAS Sprinta Pro-Am Cup”, jelas Alif yang melihat ia sebagai satu peluang untuk bersaing dengan pelumba lebih senior dalam kategori tersebut sekaligus membuktikan kemampuan beliau.
Walaupun berdepan pelbagai cabaran untuk menyediakan jentera serta pelbagai persiapan sebagai pelumba persendirian, ia tidak menghalang beliau untuk mendominasi perlumbaan Pusingan 1 yang lalu menewaskan pelumba-pelumba lain yang lebih berpengalaman.
Bakal beraksi di laman sendiri pada Pusingan 2 nanti, Alif pastinya akan mengekalkan rentak kecemerlangan di Litar Lumba Tangkak pada 14 dan 15 Mei nanti untuk melebarkan penguasaan dalam kategori tersebut.
Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com
Ikuti kami di Facebook