fbpx

AL-SYAFIQ MAHU HAPUS DUKA DI SEPANG


Tidak dapat melupakan perlumbaan Pusingan 1 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2023 di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang (Utara) yang merupakan aksi sulung di pentas Cub Prix, Pelumba TONG BAN SENG MOTOR, Md Al-Syafiq Amirul Zaki yang gagal mengumpul mata kejuaraan berkongsi, “Sejujurnya memang saya kecewa apabila tidak mencapai apa yang saya sasarkan. Kali pertama berlumba di Cub Prix, semestinya saya berharapan tinggi dan mahukan permulaan yang manis, namun nasib tidak memihak kepada saya…”

“Ketika itu saya masih belum menyesuaikan diri dengan perlumbaan di litar tetapi ada juga kebaikannya kecundang awal, ia mengajar saya agar sentiasa merendah diri dan terus mencari ruang untuk peningkatan. Jadi sejak itu, saya tidak pernah berhenti bekerja keras untuk perbaiki prestasi saya.”

Nampaknya Al-Syafiq berpegang pada kata-katanya. Memasuki Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix musim 2024, Al-Syafiq telah memenangi perlumbaan di kedua-kedua pusingan dalam kategori Yamaha PETRONAS Super Series setakat ini.

Al-Syafiq berkata, “Saya cukup bersyukur kerja keras saya membuahkan hasil. Bukan mudah bagi orang baru seperti saya untuk berada dalam kelompok depan dan bersaing dengan pelumba-pelumba yang lebih berpengalaman. Sepanjang persiapan, saya melakukan latihan selama 3 jam sehari bersama abang saya iaitu Md Al Syakir Zufayri Amirul Zaki (Wira KBS), saya juga kerap bersama dengan jurulatih saya, Muhammad Farid Badrul Hisham untuk lebih memahami jentera selain mencari setup terbaik.”

Al-Syafiq turut berkongsi kunci di sebalik peningkatannya yang drastik, “Dua minggu sebelum perlumbaan, saya akan menjalankan tugas bagi memastikan kecergasan saya berada di tahap terbaik. Saya dan coach Farid juga mencari teknik terbaik supaya dapat menguasai setiap litar dengan baik. Selain itu, sudah tentu berkat doa dari ayah dan ibu serta keluarga saya, merekalah kekuatan bagi diri saya.”

Selain meraikan kemenangan, Pusingan 1 di Litar Jasin, Melaka dan Pusingan 2 di Kompleks Sukan Permotoran Tangkak, Johor turut menyaksikan kejayaan Al-Syafiq mencatat catatan masa terpantas di kedua-dua litar, dan Pusingan 3 yang akan berlangsung di Litar Antarabngsa PETRONAS Sepang bakal menguji kemampuan Al-Syafiq untuk melakukan kebangkitan.

Al-Syafiq berkata, “Kembali ke Litar Sepang Utara ini, saya harap dapat menghapuskan duka tahun lepas. Saya juga berharap dapat sekali lagi mencatat rekod lap terpantas selain meneruskan momentum kemenangan.”

Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com

Ikuti kami di Facebook