Pusingan 8 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2025 di Dataran Seri Jempol, Negeri Sembilan menyaksikan persaingan sengit dalam kategori Wira KBS. Pelumba YAMAHA ESTREMO 27 RACING, Md Al-Syafiq Md Al-Amirul Zaki muncul sebagai pelumba terpantas keseluruhan sesi kelayakan.
Al-Syafiq mencatat masa terpantas 47.115s, sekaligus mengatasi pesaing-pesaing utamanya. Aksi Al-Syafiq menonjolkan bukan sahaja kelajuan individu, tetapi juga kekuatan kolektif YAMAHA ESTREMO 27 RACING yang menempatkan tiga wakil dalam kelompok lima terpantas. Di tempat kedua adalah Md Akif Abdullah dari ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM, dengan beza hanya satu persepuluh saat pada 47.116s.
Tempat ketiga disandang Nuzzul Ady Mad Sudin dari YAMAHA ESTREMO 27 RACING dengan catatan 47.234s, diikuti rakan sepasukannya, Md Syahmi Aiman Md Shafie pada 47.236s dan Md Naqib Rifqi Zulhelmi dari RS MEGATECH RACING TEAM yang mencatat 47.288s untuk melengkapkan lima pelumba terpantas keseluruhan sesi kelayakan. Jurang masa yang tipis antara pelumba teratas menunjukkan bahawa persaingan esok bakal menjadi aksi mendebarkan bagi Pusingan 8.
Al-Syafiq berkata, “Syukur Alhamdulillah, saya berjaya meraih P1 untuk kelayakan hari ini. Namun, semua pelumba juga sangat laju, jadi saya tidak boleh terlalu selesa. Sejak awal lagi, pasukan telah bersiap sedia mencari setup terbaik untuk saya. Pada kelayakan tadi, litar agak basah, jadi agak sukar untuk memperbaiki catatan masa, tetapi saya berusaha, dan akhirnya berjaya meraih P1.”
TOP 5 FASTEST – QUALIFYING SESSION (COMBINED)
- MD AL-SYAFIQ MD AL-AMIRUL ZAKI – YAMAHA ESTREMO 27 RACING (47.115s)
- MD AKIF ABDULLAH – ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM (47.116s)
- NUZZUL ADY MAD SUDIN – YAMAHA ESTREMO 27 RACING (47.234s)
- MD SYAHMI AIMAN MD SHAFIE – YAMAHA ESTREMO 27 RACING (47.236s)
- MD NAQIB RIFQI ZULHELMI – RS MEGATECH RACING TEAM (47.288s)

