fbpx

AKID LEGA KEMBALI KE PODIUM

Mohd Akid Aziz tidak asing dalam arena Cub Prix dan sering disebut sebagai antara antara favorit untuk memenangi takhta kategori perdana kejohanan.

Nama Mohd Akid Aziz sememangnya tidak asing dalam arena Kejohanan PETRONAS Malaysian Cub Prix. Sejak musim 2017 lagi, nama ini sering disebut sebagai antara favorit untuk memenangi takhta kategori perdana kejohanan.

Musim ini, apabila Akid mengambil keputusan berpindah dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor ke pasukan ONEXOX TKKR Racing Team, nama Akid Aziz seakan tiba-tiba hilang dari ingatan.

Setelah beraksi selama lima tahun bersama pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor, pemindahan ke pasukan baharu tidaklah semudah yang disangka.

“Dua pusingan pertama sememangnya amat sukar untuk saya dan juga kru pasukan ONEXOX TKKR Racing Team. Pasukan baharu saya mempunyai pendekatan mereka yang tersendiri. Kami memerlukan masa untuk saling-memahami,” jelas Akid.

“Saya begitu berterima kasih kepada pasukan ONEXOX TKKR Racing Team di atas usaha keras mereka selama ini. Akhirnya, saya dapat beraksi seperti dahulu!” kata Akid apabila berjaya memenangi perlumbaan Pusingan 4 dengan catatan masa 15’03.215s.

Tempat ke-2 dirampas oleh Ahmad Afif Amran, 0.052 saat di belakang Akid. Nazirul Izzat M. Bahauddin dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor menamatkan perlumbaan di tempat ketiga dengan 15’03.391s.

Azroy Hakeem Anuar dari pasukan Honda Yuzy Idemitsu kekal sebagai pendahulu kejuaraan. Azroy yang menamatkan perlumbaan di tempat keempat, kini mendahului kejuaraan dengan 58 mata. Nazirul Izzat Bahauddin naik ke tangga kedua keseluruhan dengan 45 mata manakala Mohd Muzakkkir Mohamed di tangga ketiga dengan 42 mata.

 

Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com

Ikuti kami di Facebook