fbpx

AKID AZIZ KUASAI SESI KELAYAKAN

Meskipun mengalami kemalangan dalam sesi kelayakan, Mohd Akid Aziz dari pasukan ONEXOX TKKR Racing Team masih mampu mencatat masa terpantas.

Meskipun mengalami kemalangan dalam sesi kelayakan CP150A, Mohd Akid Aziz dari pasukan ONEXOX TKKR Racing Team masih mampu mencatat masa terpantas di Pusingan 5 dan 6 Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix yang dianjurkan di Litar Permotoran Terengganu minggu ini.

 

Pelumba berusia 23 tahun tersebut nyata mempunyai motivasi tinggi untuk mengulangi kemenangan dari Pusingan 4 di Litar Utara Sepang dua minggu lalu. Akid mencatat masa terpantas 49.127s. Walaupun masih belum berjaya memecah rekod yang dipegang Azroy Hakeem Anuar, iaitu catatan masa 49.062s, Akid menyatakan bahawa beliau berpuas hati dengan prestasi pada hari kelayakan.

 

“Kemalangan tadi tidaklah begitu serius. Ianya cuma kesilapan saya terlalu mendekati pinggir litar. Apabila saya bangun, terasa seperti ada sedikit masalah dengan motorsikal, jadi saya bergegas balik ke pit. Mujurlah, kru pasukan sempat membuat pembaikan yang perlu dan saya bukan sahaja sempat meneruskan sesi kelayakan, malah berjaya mencatat masa terpantas,” kata Akid.

 

Sesi kelayakan begitu penting untuk kategori CP150 di pusingan ini. Buat pertama kali sejak 2010, sesi ujian kelayakan kelas CP150 menyaksikan tiga pelumba tidak dapat beraksi di pusingan akhir disebabkan hanya 24 pelumba dibenarkan berada di petak permulaan berdasarkan peraturan yang ditetapkan untuk Litar Permotoran Terengganu.

 

Situasi itu menyaksikan sesi ujian kelayakan dibahagikan kepada dua kumpulan daripada 27 pelumba dengan 24 pelumba terpantas layak ke pusingan akhir

 

Oleh itu, saingan bagi kelas perdana itu dipecahkan kepada dua kumpulan iaitu Kumpulan A dan Kumpulan untuk sesi kelayakan. Lima pelumba teratas Kumpulan A dan lima lagi dari Kumpulan B akan bertarung sekali lagi dalam sesi SuperPole untuk memastikan kedudukan grid masing-masing.

 

Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com

Ikuti kami di Facebook