fbpx

AFIF KEMBALI BERBISA

Setelah hampir dua tahun tanpa sebarang kemenangan, Ahmad Afif Amran akhirnya berjaya merakam kemenangan pertama musim 2021 di Litar Tangkak

Setelah hampir dua tahun tanpa sebarang kemenangan, pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing, Ahmad Afif Amran, akhirnya berjaya merakam kemenangan pertama musim 2021 di Pusingan 7 Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix di Litar Tangkak.

Kehadiran penonton di Litar Tangkak buat pertama kali sejak musim 2019 jelas membawakan motivasi yang tinggi kepada para pelumba elit dalam kategori CP150. Sebaik perlumbaan sepanjang 20 lap itu dimulakan, Kasma Daniel Kasmayudin yang bermula dari petak pertama berjaya menyambar kedudukan pendahulu.

Berhadapan dengan tentangan hebat dari seramai lima lagi pesaing yang tidak kurang handal, Kasma mampu menahankan kedudukannya sehingga lap ke-15 apabila Kasma dipintas oleh Nazirul Izzat Bahaudin, Ahmad Afif Amran dan Mohd Akid Aziz.

Perebutan sengit untuk petak pertama menyaksikan beberapa insiden ‘close contact’ terutamanya pada lap ke-17 antara Nazirul Izzat and Akid Aziz. Tatkala Nazirul dan Akid bergelut untuk berada di posisi kedua, Ahmad Afif Amran menyambar peluang untuk terus menjarakkan diri.

Situasi ini memberi ruang yang agak selesa bagi Ahmad Afif Amran untuk menamatkan perlumbaan Pusingan 7 sebagai pemenang dengan catatan masa 14’49.941s.

1.784 saat di belakang Afif, Nazirul Izzat yang mewakili pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor, berjaya menduduki tempat kedua dengan catatan masa 14’51.725s. Mohd Akid Aziz dari pasukan ONEXOX TKKR Racing Team menamatkan perlumbaan di tempat ketiga dengan 14’52.835s.

“Kemenangan ini amat bermakna bagi saya. Setelah sekian lama tidak berada di podium teratas, kemenangan ini merupakan motivasi baharu untuk mengharungi perlumbaan seterusnya,” ujar Afif.

Pendahulu kategori CP150, Azroy Hakeem Anuar dari pasukan Honda Yuzy Idemitsu Team, menamatkan perlumbaan Pusingan 7 di tempat ke-lima dan kini mendahului buruan takhta CP150 dengan 114 mata.

CP150 ROUND 7 RESULTS

  1. Ahmad Afif Amran (Yamaha, PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing), 14’49.941s
  2. Nazirul Izzat Bahaudin (Yamaha, PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor), 14’51.725s
  3. Mohd Akid Aziz (Yamaha, ONEXOX TKKR Racing Team), 14’52.835s

CP150 RIDER STANDINGS AFTER ROUND 7

  1. Azroy Hakeem Anuar (Honda, Honda Yuzy idemitsu Team), 114 pts
  2. Ahmad Afif Amran (Yamaha, PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing), 96 pts
  3. Mohd Akid Aziz (Yamaha, ONEXOX TKKR Racing Team), 86 pts

 

Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com

Ikuti kami di Facebook