Saingan Pusingan 8 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2026 di Bandar Medini Iskandar, Johor hari ini menyaksikan Juara Keseluruhan kategori WIRA, Nuzzul Ady Muhammad Sudin, terus membuktikan taringnya apabila mempamerkan tunggangan berbisa untuk mengungguli sesi Kelayakan dengan penuh bergaya.
Mewakili pasukan PETRONAS SPRINTA YAMAHA 31 RACING, Ady mempamerkan rentak konsisten dan kawalan jentera yang jitu di litar teknikal itu untuk merakamkan masa terpantas 46.871s dengan kelajuan purata 88.481kph. Catatan tersebut meletakkan beliau selesa di petak utama, mengetepikan rakan sepasukannya, Raja Abdurraqib Raja Norfatihah, yang mengekori sangat rapat di tempat kedua dengan masa 46.918s. Kedudukan ketiga pula berjaya disambar oleh pelumba IGOL BROTHERS 7 TECH RACING, Md Al-Syafiq M Al Amirul Zaki, menerusi rekod 46.943s.
Turut mempamerkan asakan sengit bagi melengkapkan kelompok lima terpantas sesi penentuan ialah rakan sepasukan Al-Syafiq, Md Fairil Hazmi Farid Sezli, di kedudukan keempat dengan catatan 47.144s, diikuti Sheikh Mohd Isyraf dari ESTREMO PITSBIKE YAMAHA FVZR TEAM di tempat kelima pada 47.422s.
Terdahulu, dominasi duo PETRONAS SPRINTA YAMAHA 31 RACING sudah mula terserlah sejak awal hari. Ady membuka tirai saingan dengan menguasai Latihan Bebas 1 menerusi catatan 47.503s di hadapan Al-Syafiq yang mencatat 47.677s dan Abdurraqib pada 47.715s. Intensiti persaingan bertambah rancak pada Latihan Bebas 2 apabila Abdurraqib bangkit mendahului carta dengan masa 47.208s mengatasi Md Ikram Dani pada 47.978s dan Al-Syafiq pada 48.141s, sebelum Ady kembali memuktamadkan penguasaan mutlak pada sesi Kelayakan.
Ady berkata, “Pada sesi kelayakan pusingan ini tadi, saya berjaya mencatat masa terpantas. Saya cuma mengekalkan rentak konsisten dengan kelajuan di hadapan. Walaupun sudah mengesahkan gelaran juara keseluruhan lebih awal, saya tetap dengan sasaran yang sama, iaitu cuba meraih kemenangan atau kedudukan podium.”
“Sejujurnya, ada juga kebaikannya mengesahkan kejuaraan keseluruhan lebih awal. Tidaklah saya perlu bersaing terlalu agresif memandangkan litar ini agak sempit dan mencabar, terutamanya di selekoh terakhir.”
TOP 5 FASTEST – QUALIFYING
1. NUZZUL ADY MUHAMMAD SUDIN – PETRONAS SPRINTA YAMAHA 31 RACING (46.871s)
2. RAJA ABDURRAQIB RAJA NORFATIHAH – PETRONAS SPRINTA YAMAHA 31 RACING (46.918s)
3. MD AL-SYAFIQ M AL AMIRUL ZAKI – IGOL BROTHERS 7 TECH RACING (46.943s)
4. MD FAIRIL HAZMI FARID SEZLI – IGOL BROTHERS 7 TECH RACING (47.144s)
5. SHEIKH MOHD ISYRAF – ESTREMO PITSBIKE YAMAHA FVZR TEAM (47.422s)

