PENGUMUMAN RASMI: APLIKASI RASMI CUB PRIX KINI DI APPLE APP STORE DAN GOOGLE PLAYSTORE

Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2026 dengan sukacitanya memperkenalkan aplikasi rasmi pertama kami, iaitu Aplikasi CubPrix, yang juga merupakan aplikasi sukan permotoran pertama di Malaysia. Sejajar dengan peredaran era digital dan komitmen kami untuk sentiasa mendekati para penyokong sukan permotoran tempatan, inisiatif ini direka khusus untuk mempertingkatkan pengalaman setiap peminat.

Pembangunan aplikasi ini berpusatkan kemudahan dan kebolehcapaian. Melalui Aplikasi CubPrix, para peminat dan pengikut kejuaraan kini boleh mendapatkan segala maklumat terkini mengenai siri perlumbaan dengan lebih komprehensif. Ini termasuklah akses pantas kepada catatan masa langsung, jadual perlumbaan, serta keputusan rasmi yang dikemas kini secara “on-the-go”, membolehkan anda mengikuti setiap aksi walau di mana sahaja anda berada. Bukan itu sahaja, aplikasi ini juga bakal menyiarkan siaran langsung perlumbaan serta memaparkan kandungan eksklusif di sebalik tabir khas buat para pengguna.

Selain daripada pusat informasi, Aplikasi CubPrix turut dilengkapi dengan platform e-dagang bersepadu. Ciri ini dibangunkan bagi memudahkan urusan pembelian pelbagai barangan rasmi kejuaraan. Pengguna kini boleh melakukan transaksi pembelian barangan kegemaran mereka dengan lebih mudah, selamat, dan terus melalui satu aplikasi sahaja.

Aplikasi ini kini tersedia sepenuhnya dan boleh dimuat turun secara percuma oleh semua pengguna peranti pintar Apple (iOS) dan Android. Cara untuk memuat turun aplikasi: Sila buat carian nama “CubPrix” di aplikasi Apple App Store atau Google Play Store.

Sila muat turun aplikasi ini sekarang untuk menikmati pengalaman digital yang inovatif dan akses yang lebih menyeluruh bersama Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix!